Melihat kepada senario hari ini, kebanyakan perniagaan kini semakin banyak yang menggunakan teknologi sebagai ruang untuk bekerja. Makanya, akses saksama terhadap sumber digital yang menyeluruh menjadi semakin penting. Sebagai tindak balas responsif terhadapnya, Meta Malaysia dengan kerjasama MDEC kini telah memperkenalkan inisiatif JomCelikDigital Dengan Meta.

Pengenalannya mengandungi pelbagai kepentingan yang memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya mereka yang berada di pedalaman dan berpendapatan B40. Ia bukan sahaja memberikan seseorang individu kemahiran digital yang diperlukan untuk berkembang dalam masa depan digital. Malahan, turut merangkumi pelbagai aspek lain seperti menjadi daya penggerak bagi memacu ekonomi digital Malaysia ke arah status negara yang berdaya saing di peringkat Antarabangsa.

Melaluinya, terdapat empat program yang telah diperkenalkan dan setiap satu daripadanya direka khusus untuk segmen atau sasaran yang berbeza. Ini termasuklah pelajar, pencari pekerjaan, perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan kecil atau makro. Inisiatif ini bakal berlangsung secara berperingkat bermula 14 April 2022.

Berikut adalah ringkasan untuk keempat-empat program berkenaan:
- MetaBoost – Bengkel pendidikan percuma yang mensasarkan kepada lebih 1000 PKS di seluruh negera. Terutamanya, mereka yang terjejas teruk akibat daripada pandemik.
- Pasar WhatsApp – Program yang bakal memperkenalkan ciri aplikasi WhatsApp Business dalam usaha mendigitalkan sesebuah perniagaan.
- Instagram Academy – Program berbentuk latihan yang menyediakan ruang buat para usahawan dan PKS tempatan menghasilkan penglibatan yang lebih baik dengan komuniti.
- Facebook Blueprint Higher Education Program – Ruang dengan ketersediaan kemahiran pemasaran digital dunia sebenar.