Cari @ Amanz

Imej Samsung Galaxy A54 5G Tertiris Menunjukkan Sepenuhnya Rekaan Peranti

Link Copied!

Samsung Galaxy A53 5G baru sahaja dilancarkan dengan rekaan yang hampir sama seumpama pendahulunya. Namun begitu, ia masih menerima penambah-baikan dan penekanan yang diberikan untuk kali ini adalah sokongan kemas kini perisian yang lebih baik. Di Malaysia, ia dijual pada RM1849 (8GB/128GB).

Terbaharu, terdapat desas-desus mengatakan pengganti kepada peranti berkenaan kini tertiris dalam beberapa imej konsep tular. Dikenali sebagai Samsung Galaxy A54 5G, reka bentuk pada peranti akan dikemaskini dengan beberapa elemen yang berbeza.

Melaluinya, peranti akan mempunyai saiz bezel yang simetri dan jauh lebih nipis berbanding Galaxy A53. Dengan ini, ia mampu menyajikan pengalaman tontonan yang lebih luas. Namun begitu, saiz, jenis dan resolusi paparannya dikhabarkan masih dikekalkan. Ini bermakna Galaxy A54 akan menggunakan skrin berlubang berteknologi Super AMOLED 6.5-inci FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz.

Panel belakang masih menunjukkan kewujudan sistem kuad-kamera. Tetapi, perubahan ketara yang boleh dilihat adalah terdapatnya tiga bonggol berbeza untuk setiap satu lensa. Ia kelihatan menonjol dengan lingkaran berwarna hitam yang turut sama menghiasinya. Kemudian, satu lagi lensa tambahan ditempatkan secara bersebelahan dan kelihatan rata sahaja. Boleh dikatakan, reka bentuknya di sini mempunyai elemen yang sama digunakan pada Samsung Galaxy A33 sebelum ini.

Sisi kanan menunjukkan terdapatnya butang kuasa dan laras audio. Port sambungan USB-C turut digunakan pada peranti dan boleh ditemui pada bahagian bawah. Turut melengkapi peranti adalah pembesar suara pada sisi yang sama dan pengimbas cap jari terbina pada skrin. Tidak tinggalan, bicu audio turut akan dikembalikan pada model kali ini.

Buat masa ini, ia hanyalah sebuah rekaan konsep rekaan awal dan tidak diketahui sama ada apa yang diperlihatkan bakal diteruskan untuk produk akhir atau sebaliknya.


Komen ()