Carian
Google Menggunakan Kecerdasan Buatan Bagi Memaparkan Waktu Perniagaan Lebih Tepat
April 8, 2022 Effi Saharudin

Ramadan Mubarak tiba lagi dan waktu perniagaan restoran khususnya yang dimiliki Muslim akan berubah. Kerap kali kami menyedari waktu perniagaan beberapa perniagaan yang dipaparkan di Google Search dan Google Maps adalah kurang tepat. Google menyedari isu ini dan akan menggunakan pelbagai cara termasuk kecerdasan buatan untuk mempamerkan waktu perniagaan yang lebih tepat.

Di negara dengan sokongan Google Duplex, Google akan melakukan panggilan telefon menggunakan kecerdasan buatan untuk bertanya sendiri kepada restoran mengenai waktu perniagaan misalnya. Lebih kompleks imej dari Google Street View akan dianalisa untuk melihat waktu perniagaan berdasarkan iklan yang dipaparkan di hadapan kedai.

Kemudiannya Google akan turut menganalisa waktu puncak di kalang pengunjung. Jika restoran dilihat dipenuhi pelanggan pada waktu ia sepatutnya tutup, Google akan mengetahui maklumat yang dipaparkan mereka tidak tepat. Akhir sekali Google akan meminta bantuan Local Guides sendiri untuk mengisi maklumat mengenai waktu perniagaan.

Bagi pemilik perniagaan mereka tidak perlu risau maklumat yang dipaparkan akan diubah secara mendadak. Google hanya akan melakukan perubahan sekiranya mereka benar-benar pasti ia adalah waktu perniagaan yang tepat.

Komen