Carian
TNG Semakin Hampir Memperkenalkan Kad NFC Baharu Yang Boleh Ditambah-Nilai Terus Melalui Telefon
April 9, 2022 Aman

Touch ’n Go sedia berkongsi sebelum ini mengatakan mereka bakal memperkenalkan kad Touch n Go generasi baharu, yang boleh ditambah-nilai terus melalui aplikasi TNG eWallet. Lanjutan daripadanya, kini laman bantuan dan soalan lazim TNG telah dikemaskini – memperlihatkan pengenalan kad baharu ini semakin hampir.

Melalui laman bantuan TNG, kad baharu ini dinamakan sebagai Enchanced Touch ’n Go Card. Kad baharu ini hadir dengan integrasi sokongan NFC.

Dengan sokongan ini, anda boleh terus melakukan tambah-nilai menggunakan telefon – dengan menyentuh kad baharu ini pada bahagian NFC telefon. Dengan langkah ini, pengguna tidak lagi perlu mencari kiosk tambah-nilai, dan boleh melakukannya terus pada telefon bersama aplikasi TNG eWallet.

Untuk menikmati penggunaan ini, Touch n Go mengatakan pengguna terlebih dahulu perlu mengesahkan akaun TNG eWallet mereka, dan mempunyai telefon pintar dengan sokongan NFC – dan menjalankan sekurang-kurangnya iOS 13 atau Android 4.4.

Aplikasi TNG eWalleet v1.7.72 diperlukan yang menambah sokongan untuk Enchanced Touch ’n Go Card ini. Sebuah ikon baharu akan dipaparkan, yang membolehkan anda melakukan tempahan kad, disamping melakukan tambah-nilai. Kad baharu ini dijangka berharga sekitar RM10 seperti kad TNG sedia ada yang lain.

Touch ’n Go turut menyatakan yang mana telefon tanpa sokongan NFC tidak disokong untuk melakukan tambah-nilai buat masa ini. Tambah-nilai minima RM10 boleh dilakukan, dan nilai maksima untuk setiap transaksi adalah RM500. Kad ini boleh menyimpan maksimum RM1,500 pada sesuatu masa.

Pada masa yang sama, Touch ’n Go turut mengatakan kad ini mempunyai masa penggunaan selama 7 tahun lamanya.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Touch ’n Go akan memperkenalkan kad generasi baharu ini. Memandangkan laman bantuan telah aktif, maka kita mungkin melihat ia diperkenalkan dalam masa terdekat ini.

Komen