Carian
Ini Ialah Rekaan Belon Yang Akan Membawa Pelancong Ke Angkasa Lepas Menjelang 2024
April 11, 2022 Effi Saharudin

Apakah yang boleh anda gunakan untuk pergi ke angkasa lepas? Terdapat beberapa pilihan iaitu menerusi agensi rasmi kerajaan seperti NASA, Roscosmos, ESA atau CSA. Jika anda mempunyai wang lebih anda boleh mencuba nasib dengan membeli tiket yang ditawarkan SpaceX, Blue Origin, Virgin Galactic, dan Axiom Space yang baru sahaja melancarkan misi swasta pertama ke ISS.

Pada tahun 2024, mereka yang ingin ke angkasa lepas boleh menempah pula tiket menerusi World View. Uniknya ialah World View menawarkan pakej ke 30,000 meter yang adalah permulaan angkasa menggunakan sebuah belon helium.

Pada ketinggian ini lengkungan bulat bumi dan permulaan angkasa akan dapat dilihat oleh penumpang. Setiap misi menggunakan kapsul berbentuk heksagon yang menempatkan lapan penumpang dan dua krew. Setiap penerbangan adalah di antara 6-12 jam.

World View merancang menawarkan pelancaran belon dari lokasi pelancongan terkemuka seperti Tembok Besar China, Hutan Amazon, Grand Canyon dan Piramid Giza. Dengan ini syarikat boleh membawa belon ke pelanggan dan bukan sebaliknya. Kelebihan lain sistem belon ini ialah setiap tiket hanya dijual pada harga $50,000 (~RM211,000) seorang sahaja. Jauh lebih murah berbanding tiket pesaing mereka.

Dengan rekaan telah didedahkan, World View merancang untuk melakukan ujian penerbangan pertama pada tahun 2023.

Komen