Cari @ Amanz

Dalam usaha menyediakan lebih banyak pilihan buat pengguna, Vivo Malasia kini berkongsi perancangan untuk hadir dengan peranti baharu lagi tidak lama lagi. Perkongsian poster acah di Facebook rasmi jelas menunjukkan peranti berkenaan akan diperkenalkan di bawah siri T.

Setakat hari ini, rasanya belum ada sebarang peranti Vivo di bawah siri T yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia. Dengan ini, pengenalannya boleh dianggap sebagai penawaran terbaru daripada jenama berkenaan.

Melihat pada tanda tagar di ruangan kapsyen, terdapat beberapa model yang bakal diumumkan. Ini termasuklah Vivo T1X dan Vivo T1 5G dan kedua-duanya telah dilancarkan di China terlebih dahulu. Seterusnya, penggunaan perkataan ‘Turbo’ yang disertakan seakan memberi bayangan peranti-peranti tersebut besar kemungkinan memberi tumpuan terhadap prestasi secara menyeluruh.

Tiada maklumat lanjut mengenai tarikh pelancaran khusus yang dikongsi setakat artikel ini ditulis. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan lebih lanjut berkaitan perkara ini daripada pihak Vivo Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd