Misi AX-1 mencatatkan sejarah sebagai yang pertama oleh syarikat swasta dan dengan krew swasta ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Selepas berjaya tiba ke ISS awal pagi tadi, AX-1 akan turut mencatatkan sejarah apabila kesemua empat krew misi masing-masing akan menempa (mint) NFT di angkasa lepas.
NFT akan ditempa pada 14 April hadapan dan kemudiannya dijual menerusi gedung NFT Axiom Space. Setiap satunya dihasilkan berdasarkan pengalaman peribadi melihat bumi dari ISS. Selain NFT yang dihasilkan oleh krew, Axiom Space akan turut menawarkan karya seni digital yang dihasilkan oleh Michael Kagan dalam bentuk angkasawan 3D digital. Trend NFT mungkin tidak lagi sehangat seperti beberapa bulan yang lalu tetapi masih terdapat beberapa koleksi yang dilancarkan kerana ada yang percaya ia masih mempunyai masa depan.