Selain daripada peranti, televisyen dan kelengkapan rumah pintar mereka, Samsung juga cukup dikenali untuk membangunkan komponen-komponen komputer juga.
Terkini, Samsung dilihat telah memperkenalkan memori DDR5 dengan kapasiti memori setinggi 512GB dengan kelajuan memori 7200MHz. Secara lazimnya memori RAM akan hadir pada kapasiti sebesar 32GB ataupun 64GB, tetapi dengan penawaran terbaru ini, kita mungkin akan dapat melihat konfigurasi mesin pelayan ataupun komputer pengguna dengan jumlah memori multi-terabyte tidak lama lagi.
Memori dengan kapasiti ini dibangunkan dengan menindih cip memori sebanyak lapan lapis dengan jurang diantara memori yang diperkecilkan, berbanding dengan memori yang ditindih empat lapis dengan jurang diantara memori yang lebih besar pada penawaran memori DDR4 mereka sebelum ini.

Samsung menggunakan cip memori berkapasiti 16Gb dengan setiap lapisan, menjadikan setiap satu cip penuh pada memori ini setinggi 16GB, dan dengan 32 modul cip 16GB ini memenuhi sebatang papan DDR5, ia hadir dengan kapasiti setinggi 512GB tersebut.
Ia juga dikatakan bahawa memori 512GB ini tidak akan memakan tenaga yang lebih, kerana teknologi memori DDR5 ini sendiri hadir dengan pengurangan penggunaan elektrik sebanyak 30 peratus berbanding dengan memori DDR4 sebelum ini.
Setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah Samsung akan mula menawarkan memori DDR5 dengan kapasiti 512GB ini, tetapi kami menjangkakan bahawa ia akan diperkenalkan pada mesin pelayan terlebih dahulu sebelum diperlihatkan pada pengguna komputer biasa.