Ulasan Mecool KD3 – Dongel Google TV Yang Kurang Cool

Diterbitkan pada Mei 13, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Ramai yang inginkan televisyen pintar tetapi harga jualannya yang bermula sekitar RM2000 mungkin masih di luar kemampuan orang-orang kebanyakan. Teknologi tidak seharusnya terhad kepada insan yang mempunyai duit maka penyelesaian paling mudah kami berikan kepada mereka yang ingin TV pintar tapi tak maju berbelanja besar ialah dengan membeli dongel. Mecool KD3 ialah sebuah lagi dongel Android TV dengan Google TV boleh memintarkan TV atau monitor dungu anda di rumah.

Ia cuba memberikan persaingan kepada dongel Chromecast dan Realme yang turut menawarkan sokong 4K. Adakah ia cukup cool dengan ciri-ciri menarik yang mungkin wujud? Ulasan pendek ini cuba menjawab soalan ini dengan sepantas mungkin.

Spesifikasi

Mecool KD3
Saiz Skrin
ResolusiSehingga 4K (60Hz)
Panel
SpesifikasiAmlogic S905Y4, 4X Cortex-A35, 2GB RAM, 8GB ROM eMMC
Sistem OperasiAndroid TV 11 dengan Google TV
HDRYa / HDR10 /Dolby Vision
Keterangan Maksimum
AudioDolby Atmos
I/OHDMI, mikroUSB
DTTV
Pembantu MayaGoogle Assistant
InternetWiFi 2.4/5GHz
BluetoothBT 5.0
ChromecastYa
AirPlay 2Tiada
Saiz92.5 x 29.5 x14.5 mm
Berat
Harga Jualan~RM 260

Rekaan

Rekaan KD3 adalah mirip dengan Chromecast generasi pertama dengan tubuh yang diperbuat daripada plastik. Badan sepanjang sekitar 10cm ini mempunyai kepala HDMI pada bahagian hujung. Ianya agak panjang tetapi kami tidak mempunyai masalah menyambungnya di belakang sebuah televisyen pintar. Dongel hanya sukar dipasang pada monitor komputer dan televisyen yang bersaiz lebih kecil.

Jika ini berlaku Mecool memberikan sebuah penyesuai HDMI ke HDMI sepanjang 12.6mm membolehkan sambungan dilakukan dengan lebih mudah tanpa memikirkan masalah ruang. Pada bahagian sisi terdapat port kuasa mikro USB. Tidak seperti Chromecast With Google TV, KD3 boleh mendapatkan bekalan kuasa terus dari port USB-A televisyen.

Rekaannya tidak begitu cantik jika dibandingkan dengan Mi TV Stick atau Chromecast with Google TV tetapi ini tidak mengapa dongel diletakkan di belakang TV sepanjang masa. Langsung tidak kelihatan walaupun rekaannya tidak moden.

Dongel plastik ini dipadankan pula dengan alat kawalan jauh yang juga plastik berwarna hitam. Rekaannya juga tidak begitu menarik kerana butang kawalan yang agak keras. Mengecewakan juga kerana alat kawalan jauh ini ialah peranti input utama untuk memilih kandungan. Dengan kesemua butang keras, tahap keselesaannya tidak sebagai yang kami sudah biasakan dengan Chromecast With Google TV di rumah.

Rekaan dan kualiti butang mungkin tidak begitu memuaskan tetapi alat kawalan jauh ini hadir dengan pelbagai butang yang tidak ada pada dongel rasmi Google. Butang navigasi berbentuk bulat dipadankan dengan butang khas untuk menukar profil pengguna dan tetapan Google TV. Amat mudah menukar profil bagi mereka yang berkongsi TV dengan orang lain di rumah.

Terdapat juga empat pintas pantas untuk YouTube, Prime Video, Netflix dan Disney+. Lebih mewah berbanding hanya dua (YouTube dan Netflix) pada Chromecast With Google TV. Kekurangan hanyalah butang Disney+ tidak boleh digunakan kerana tidak diprogramkan untuk membuka Disney+ Hotstar. Tiada cara untuk mengubah butang ini secara natif. Anda boleh mengubah konfigurasi butang dengan aplikasi pihak ketiga yang berbayar.

Alat kawalan jauh ini memerlukan dua bateri AAA untuk berfungsi. Kami lebih sukakan jika bateri sel alkali tukar ganti digunakan kerana tiada isu bateri yang boleh dicas akan rosak selepas beberapa kitaran pengecasan.

Android TV 11

Dengan sisten operasi Android TV 11 dengan pelancar Google TV, ia adalah sama dengan Chromecast With Google TV dan sesetengah model televisyen pintar Android TV di pasaran sekarang. Antaramuka ini amat mudah digunakan dan difahami khususnya jika anda memang sudah biasa menggunakan peranti Android sebelum ini.

Tiada sebarang isu dengan memuat turun aplikasi kerana Play Store menawarkan pelbagai aplikasi yang anda perlukan. Had hanya terletak pada storan dalaman 8GB yang dibekalkan. Tidak ada perkara negatif yang boleh kami katakan mengenai sistem operasi Android TV 11 dengan Google TV yang digunakan.

Penggunaan Dan Kualiti Visual

Proses memasang adalah mudah kerana Mecool memberikan penyesuai HDMI yang memanjangkan sambungan dari TV ke dongel sekiranya tiada ruang yang mencukupi di belakang TV. Dongel akan tergantung apabila menggunakan penyesuai ini. Ini bukanlah isu benar kerana sama sahaja dengan dongel Chromecast.

Cara mengaktifkan dongel untuk kali pertama pula adalah amat mudah dibantu dengan sokongan WiFI 5GHz. Lebih pantas Internet di rumah lebih mudahlah proses untuk mengaktifkan KD3 menggunakan akaun Google anda. Seperti kami katakan di atas anda tidak memerlukan manual untuk memahami elemen antaramuka Google TV. Talam atas untuk pelbagai aplikasi yang telah dipasang, di bucu atas terdapat tetapan profil untuk mengubah parameter dongel dan barisan kandungan yang disarankan bergantung kepada aplikasi yang dipasang.

Semasa di peringkat awal kesemuanya terasa agak lancar tetapi semakin banyak aplikasi dipasang, kami menyedari antaramuka mula terasa sedikit perlahan. Kami memasang YouTube, Netflix, Disney+ Hotstar, Prime Video, Curiosity Stream, Tubi, HBO GO dan Lionsgate Play. Setiap satu aplikasi ini akan memaparkan thumbnail untuk kandungan yang disarankan pada muka hadapan setiap kali butang home ditekan. Proses menatal mula terasa sedikit berat dan tidak lancar sehingga mengambil masa beberapa saat untuk skrin hadapan dipaparkan selepas butang home ditekan pada alat kawalan jauh.

Pemproses Amlogic S905Y4 dengan empat teras Cortex-A35 dan memori sekadar 2GB RAM jelas tidak mampu memberikan pengalaman penggunaan yang memuaskan. Sebagai perbandingan Chromecast with Google TV dilengkapi pemproses dengan empat teras Cortex-A55 dengan saiz RAM yang sama. Perbezaan pengalaman adalah amat ketara di antara kedua-dua dongel Google TV ini.

Lebih mengecewakan ialah kami dapat melihat perbezaan sambungan Internet juga. Pada lokasi yang sama dan menggunakan rangkaian WiFi yang sama, kelajuan Internet pada Chromecast with Google TV adalah lebih laju menurut skrin statistik aplikasi YouTube. Akibatnya kalau kandungan 4K distrim, masa yang diambil untuk kami dapat menikmati kandungan 4K sebenar adalah lebih perlahan.

Mecool KD3 diiklankan dengan sokongan Dolby Vision tetapi dalam ujian yang dilakukan menggunakan dua skrin yang menyokong format HDR ini kami gagal menikmatinya. Seperti yang dapat dilihat di atas, Netflix mengesahkan Mecool KD3 menyokong 4K HDR dengan Dolby Atmos tetapi tanpa Dolby Vision. Malahan mod HDR10 biasa juga tidak dapat dipaparkan. Kandungan nampak kurang bermaya dan lebih rata tanpa sokongan HDR. Setelah sekian lama menggunakan TV dengan sokongan HDR di rumah, ketiadaan mod ini amat ketara perbezaannya.

Apakah sebab ini berlaku tidak kami tahu kerana wakil Mecool bertegas kepada kami ia tidak sepatutnya berlaku. Isu ini tidak berlaku pada dongel Chromecast with Google TV yang kami pasang menggunakan TV dan port HDMI yang sama di makmal Amanz.

Kualiti Audio

Terdapat sokongan untuk Dolby Atmos pada spesifikasi dan tiada isu untuk menikmati output ini pada televisyen pintar yang menyokongnya. Kualiti audio amat bergantung kepada speaker yang digunakan pada peranti dongel disambungkan.

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Dongel Mecool KD3
  • 1x Alat kawalan jauh
  • 1x Penyambung tambahan HDMI 12.6mm
  • 1x Kabel kuasa mikroUSB – USB-A 1m
  • 1x Kepala pengecas tiga pin
  • 1x Manual

Kesimpulan

Mecool pada nama tetapi malang sekali tidak cukup cool untuk kami sarankan pembeliannya kepada pembaca semua. Rekaannya yang tidak begitu cantik tidaklah menjadi isu kerana dongel tersorok di belakang TV. Kami cuma tidak boleh memaafkan penggunaan dongel yang tidak cukup lancar. Pemproses dengan hanya empat teras Cortex-A35 tidak melepasi piawaian kami yang sudah menggunakan Chromecast With Google TV yang dilengkapi pemproses lebih berkuasa.

Jika kelancaran tidak penting bagi anda sekalipun, sukar untuk menyarankan dongel yang tidak serasi dengan kesemua TV dan monitor yang kami uji. Mod HDR yang ada pada Netflix misalnya tidak boleh dipaparkan pada monitor HDR10+ dan TV Dolby Vision yang kami miliki. HDR ialah ciri yang perlu sekarang dan ketidakserasian dongel pada monitor jenama utama tidak boleh dimaafkan.

Kemudian dengan harga jualan Mecool KD3 sekitar RM250 ianya ditawarkan pada harga yang sedikit lebih murah berbanding Chromecast With Google TV (~RM268) dan lebih mahal berbanding Mi TV Stick 4K (~RM210) dengan spesifikasi lebih baik. Dua dongel yang kami katakan tadi adalah pilihan yang lebih baik pada waktu ini.

Pro

  • Mudah dipasang pada belakang TV.
  • Boleh mengambil kuasa dari port USB-A TV.
  • Menggunakan sistem operasi Google TV berasaskan Android 11 terkini.
  • Pilihan aplikasi yang cukup mewah.
  • Storan yang besar.

Kontra

  • Kandungan strim 4K HDR sedikit lambat terpapar pada TV.
  • Output Dolby Vision bermasalah walaupun sepatutnya disokong.
  • Pemproses kurang berkuasa membuatkan terdapat sedikit sela masa.
  • Butang alat kawalan jauh sedikit keras.
  • Harga kurang kompetitif.

komen


© Amanz / 2022 Kami