Intel Mengeluarkan Kenyataan Mengenai Isu CPU Alder Lake Yang Mengalami Isu Meleding

Diterbitkan pada Apr 11, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Intel telah melancarkan siri cip pemprosesan Alder Lake mereka pada penghujung tahun lepas, yang mana ia memperlihatkan peningkatan dari segi prestasi dan juga pengenalan sokongan untuk teknologi-teknologi baru seperti memori DDR5 dan juga PCIe 5.0.

Akan tetapi, selepas pelancaran cip pemprosesan tersebut, ramai pengguna, khususnya pembina komputer tegar telah mula sedar akan satu isu ketara yang berlaku apabila menggunakan CPU ini, khususnya dengan penyejuk bersaiz besar, dimana CPU tersebut dilihat akan mengalami isu meleding, ataupun membengkok di bahagian penyebar haba di bahagian atas CPU.

Ada diantara pengguna yang berasa risau mengenai isu ini, mengatakan ia mungkin akan menyebabkan tahap penyejukan CPU akan menjadi lebih teruk, dan secara langsung akan menyebabkan isu prestasi CPU yang berkurangan juga.

Untuk memperbaiki isu ini, beberapa individu dilihat memperkenalkan beberapa mod yang boleh digunakan untuk memastikan CPU-CPU mereka tidak menghadapi isu meleding tersebut.

Intel juga baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan mengenai isu meleding tersebut, dimana mereka mengatakan bahawa berdasarkan apa yang dilihat oleh mereka, CPU-CPU yang dilihat menghadapi isu ini masih lagi boleh beroperasi dalam spesifikasi dan suhu yang ditetapkan syarikat tersebut, dan oleh itu, pengguna boleh menggunakan CPU-CPU ini seperti biasa.

Bagi CPU-CPU seperti Intel Core i9-12900K yang dilihat tidak boleh mencapai kelajuan lewahjam 5.5GHz, Intel mengatakan bahawa mencapai nilai lewahjam tersebut tidak dijamin, dan nilai yang dijamin tersebut hanyalah nilai kelajuan asas yang boleh dicapai oleh CPU-CPU mereka.

Intel mengatakan lagi bahawa melakukan modifikasi kepada CPU-CPU Intel akan menyebabkan waranti keatas CPU-CPU ini dibatalkan, dan sebarang pembaikan ataupun penukaran CPU tidak akan dilayan.

komen


© Amanz / 2022 Kami