Cari @ Amanz

Menurut statcounter, Google Chrome masih lagi pelayar web paling popular di dunia dengan Safari berada di tangga kedua dan Edge di tangga ketiga. Walaupun pengguna Edge semakin bertambah, masih ramai tidak boleh berpisah dengan Chrome lagi.

Antara kelebihan Chrome adalah mempunyai sokongan pelbagai pemalam menarik dan mempunyai ciri dan fungsi yang memudahkan pengguna. Gedung pemalam mereka iaitu Chrome Web Store mempunyai banyak pemalam dan kini Google akan meletakkan lencana untuk pemalam dan pembangun dengan reputasi baik.

Dua lencana ini adalah Featured badge dan Established publisher badge. Pemalam dan pembangun yang menerima lencana ini akan menerima kedudukan tertinggi dalam hasil carian serta akan kerap dipromosikan oleh Google. Mereka yang layak ini adalah kerana mengikut polisi Google, menjaga keselamatan privasi dan data pengguna dan tidak melanggar mana-mana peraturan.

Lencana Featured ini diberikan secara manual oleh Google dan tidak semua akan menerimanya dan juga tidak ada panduan untuk pembangun ikuti. Lencana Established pula akan diterima secara automatik jika pemalam itu menerima maklum balas positif dan mengikut kehendak Google.

Apa yang Google lakukan ini dilihat lebih kurang sama dengan Mozilla lakukan untuk pelayar web Firefox mereka iaitu Recommended Extensions program for Firefox. Kelak anda akan lebih selamat dan yakin sebelum memilih pemalam mana yang anda ingin gunakan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd