Sepanjang tahun 2020 dan 2021, pasaran PC global memperlihatkan peningkatan jualan yang mendadak kerana dunia beralih ke bekerja dan pembelajaran dari rumah. Pasaran komputer riba dan Chromebook khususnya memperlihatkan peningkatan jualan sehingga terdapat pasaran yang terpaksa membeli tablet dan peranti pintar kerana bekalan komputer dan komputer riba yang tidak mencukupi.
Walaupun begitu, apabila dunia semakin menghampiri situasi endemik, ia juga dapat dilihat bahawa para pekerja semakin kembali ke situasi sedia ada, memasuki pejabat dan kembali ke sekolah, dan tidak lagi memerlukan komputer baru untuk tujuan pekerjaan dan pembelajaran dari rumah.

Ini dapat dilihat melalui laporan IDC yang mengatakan bahawa pemasaran komputer secara keseluruhannya mencatatkan penurunan sebanyak 5.1 peratus berbanding dengan suku tahun sebelumnya, dengan sekitar 80.5 juta PC dipasarkan.
IDC turut mengatakan bahawa penurunan ini dilihat agak mendadak berbanding dengan unjuran mereka sendiri, tetapi ia tidak begitu mengejutkan kerana industri tersebut memperlihatkan peningkatan dua digit setiap suku sejak tahun 2020.
Mereka juga mengatakan bahawa ini bukanlah bermakna bahawa industri PC akan memperlihatkan penurunan mendadak lagi selepas ini. Walaupun dengan penurunan kadar pemasaran, industri tersebut masih lagi mencatatkan jumlah pengeluaran komputer sebanyak 80.5 juta unit pada suku tersebut, yang merupakan suku ketujuh berturut-turut industri ini mencatatkan nombor sebegitu.

Walaupun begitu, laporan tersebut turut memperlihatkan bahawa beberapa jenama, seperti Apple, ASUS dan Dell masih lagi mencatatkan peningkatan pemasaran komputer dari tahun-ke-tahun, khususnya ASUS yang merupakan satu-satunya syarikat yang mencatatkan peningkatan pemasaran lebih tinggi dari 15 peratus.
Penurunan ini juga berkemungkinan kerana jenama-jenama komputer akan mula memperkenalkan penawaran baru ke pasaran sekitar pertengahan tahun ini, seperti apa yang lazimnya dilakukan setiap tahun.
Orang ramai akan mahu menunggu untuk membeli komputer baru supaya mereka boleh mendapatkan model dengan spesifikasi yang terkini dan terbaru, jadi industri PC mungkin akan memperlihatkan peningkatan sekali lagi apabila model-model tersebut dilancarkan.