Redmi Note 11 Pro 5G adalah peranti yang saya katakan adalah sebuah peranti kelas pertengahan tetapi mempunyai rupa sebuah peranti mercu. Selepas dua bulan sahaja, Xiaomi Malaysia kini sudah memperkenalkan Redmi Note 11 Pro+ 5G pula.
Apa pula yang menarik dengan peranti ini? Apa bezanya? Rupa semua sama sahaja, takkanlah dalaman sahaja lain? Selepas menggunakan peranti untuk beberapa minggu saya mendapati Redmi Note 11 Pro lebih berbaloi dan mereka yang sudah membeli Pro tidak perlu risau akan kewujudan Pro+ ini. Kenapa?
Spesifikasi Dan Rekaan
Redmi Note 11 Pro+ 5G | |
---|---|
Skrin | 6.67″ Super AMOLED, HDR10 FHD+, 120Hz |
Pemproses | Dimensity 920 5G (6nm) |
Cip | 2 x 2.5 GHz Cortex-A78 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G68 MC4 |
RAM | 8GB LPDDR4X |
Muatan Dalaman | 128/256 UFS 2.2 |
Kamera Utama | 108+8+2 Megapixel f/1.9+f/2.2+f/2.4 |
Kamera Swafoto | 16 Megapixel f/2.5 |
Bateri | 4500 mAh Pengecasan berwayar 120W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari sisi |
Harga Jualan | RM 1499 (8/128GB) RM 1599 (8/256GB) |
Saiz skrin yang digunakan iaitu 6.67-inci rasa cukup besar di tangan, tetapi masih mudah untuk dikendalikan. Ia tidak rasa janggal, tidak rasa aneh, serta menonton video di platform pentsriman dan melayari web untuk membaca cukup menyeronokkan. Panel yang digunakan juga adalah AMOLED yang cantik dan cerah, walaupun berada di luar di bawah cahaya matahari ia masih boleh dilihat dengan baik. Bezel peranti juga cukup nipis, termasuk bahagian dagu yang tidak setebal peranti pesaing. Peranti ini boleh dikatakan menawarkan skrin yang bertarah peranti mercu asas.

Rekaan skrin adalah jenis ada lubang di tengah, ini adalah untuk kamera swafoto dan kali ini Redmi menjaga kualiti binaan dengan lebih baik, kerana skrin tidak ada kesan bayang-bayang seperti peranti Redmi sebelum ini. Tidak lupa juga yang peranti ini menyokong kadar segar 120Hz. Walaupun tidak adaptif, pada hemat saya ia sudah memuaskan kerana amat lancar dan pantas untuk setiap tatalan.
Warna skrin juga agak cantik untuk peranti dalam kategori sama. Ia menyokong HDR10 yang memberikan warna terang, butiran jitu serta sedap mata memandang. Tidak kira Netflix atau YouTube, video HDR akan memberikan pengalaman menonton yang memuaskan.

Disebabkan binaan adalah sama dengan Redmi Note 11 Pro 5G, apa yang akan saya jelaskan dalam ini besar kemungkinan anda pernah mendengarnya sebelum ini. Redmi Note 11 Pro+ 5G adalah peranti yang premium, cantik, dan seksi. Ia direka rata di sisi, depan dan belakang – serta ia tidak tajam di tangan. Di tangan peranti ini rasa cukup padat dan padu.
Bonggol kamera tidak dinafikan agak besar. Malah saya boleh letak di hujung meja dan ia boleh tergantung. Walaupun begitu, peranti tidak terjongket teruk kerana bonggol kamera juga adalah rata untuk setiap lensa dan tiada yang terjojol.

Depan dan belakang peranti ini dilindungi dengan kaca, di mana hadapan adalah jenis Gorilla Glass 5 dan belakang pula kaca biasa. Kaca ini memberikan lagi nilai premium dan keselesaan yang saya sebutkan tadi. Bingkai peranti ini adalah plastik dan jika anda pegang peranti ini anda tidak sangka yang ia adalah plastik.
Sokongan perlindungan IP53 turut disediakan untuk tahan daripada percikan air. Jadi jika anda baru lepas ambil wuduk untuk Solat Tarawih dan terus pegang peranti tidak akan menjadi masalah.
Penggunaan Dan Perisian
Kalau saya rasa MIUI 13 pada Redmi Note 11 Pro ada sedikit perubahan, kerana prestasi dan pengalaman penggunaan ada penambahbaikan – Redmi Note 11 Pro+ 5G pula adalah selangkah ke belakang. Peranti ini menggunakan MIUI 12.5 berasaskan Android 11 dan bukannya yang terbaru. Saat artikel ini ditulis, Xiaomi Malaysia menyatakan kepada saya MUI 13 hanya akan diedarkan dalam masa beberapa minggu lagi. Kalau MIUI 13 pun lambat, apatah lagi untuk nantikan Android 12? Bulan Mei akan datang, Android 13 akan menjadi rasmi – sampai bila Redmi akan menjadi ketinggalan. Apakah alasan mereka untuk tidak boleh menawarkan penggunaan perisian yang baik.

Rekaan antaramuka masih sama dan tiada beza ketara sejak MIUI 12. Iklan masih banyak dan aplikasi gendut menjengkelkan juga masih semak dalam pelancar. Tetapi nasib baik saya sudah tahu bagaimana untuk matikan dan buang mana yang tidak patut. Ini membuatkan penggunaan peranti ini sedikit baik, cuma kesian untuk pengguna baharu dan kali pertama yang akan kecewa. Sepanjang menggunakan peranti ini, saya tidak alami masalah serius seperti lengah masa secara tiba-tiba atau sistem peranti tergendala.

Penanda Aras
Redmi Note 11 Pro+ 5G ini dijana dengan cip pemprosesan Dimensity 920 5G iaitu cip dengan konfigurasi CPU 2x 2.5 GHz Cortex-A78 dan 6x 2.0 GHz Cortex-A55 yang dipadankan dengan GPU Mali-G68 MC4. Memori juga tiada lagi pilihan 6GB RAM seperti model Pro dan hanya ada 8GB RAM. Ditambah pula dengan memori maya 3GB RAM – jumlah memori peranti ini adalah 11GB RAM. Storan dalaman adalah 128GB atau 256GB daripada UFS 2.2 yang mempunyai prestasi lebih pantas daripada UFS 2.1. Slot kad mikroSD juga ada jika storan yang ditawarkan tidak mencukupi.
Ujian penanda aras yang diuji dengan peranti yang dalam keadaan sejuk, untuk mendapatkan keputusan yang optimal – berikut adalah apa yang diperoleh;
- Geekbench 5 – 699/2192 Markah
- Antutu 3D – 440,233 Markah

Skor Dimensity 920 berada dalam kategori sederhana sahaja, namun dengan pengurusan memori yang boleh diterima daripada MIUI dan menyokong memori maya – ia mampu memberi satu pengalaman penggunaan yang lancar dan sedap. Skor ini juga adalah sedikit lebih tinggi berbanding Snapdragon 695. Untuk sebuah peranti kelas pertengahan “premium”, ini adalah skor yang elok dan baik-baik sahaja, cuma tidaklah sehebat peranti mercu.
Prestasi juga baik jika tidak bermain permua, tetapi apabila permua atau aplikasi berat dijalankan – lengah masa mula berlaku dan peranti akan ras sedikit ‘berat’. Bukanlah yang terbaik, tetapi tidaklah sampai tertekan dan ingin rasa marah.

Telefoni dan GPS
Saya jarang alami masalah rangkaian pada peranti Xiaomi. Jika ada pun saya masih boleh tahan. Pada Redmi Note 11 Pro+ 5G ini, panggilan telefon tidak menjadi masalah pun dengan Maxis. Suara pemanggil jelas, tiada masalah putus-putus. Tetapi untuk data mudah alih ada masalah besar, ia kerap tidak dapat sambungan walaupun 4G+ VoLTE terpapar dengan bar penuh. WhatsApp lambat masuk, notifikasi terus hilang entah ke mana kerana tiada akses Internet.
Hotspot juga kadangkala ada kadangkala tiada. Ini biasa berlaku dengan peranti Xiaomi, Redmi atau Poco pada harga bawah RM1000. Untuk ia berlaku pada peranti lebih premium agak menjengkelkan. GPS walau bagaimanapun tiada masalah besar, kerana ia pantas mengunci lokasi dan tidak memberi sebarang isu dalam memberi arahan selok-belok.
Kamera
Konfigurasi kamera peranti ini adalah 100% sama dengan Redmi Note 11 Pro 5G. Ia menggunakan sistem tri-kamera daripada sensor 108+8+2 Megapixel. Selain daripada perisian sebagai faktor utama untuk kualiti kamera, cip pemprosesan juga adalah penting. Note 11 Pro dengan Qualcomm Snapdragon dan Note 11 Pro+ dengan MediaTek Dimensity.

Kamera peranti ini adalah apa yang saya boleh katakan standard untuk sebuah peranti Redmi yang berharga sekitar RM1500. Ia tiada OIS, tetapi sensor besar, ia ada banyak ciri menarik dalam aplikasi kamera seperti penuras dan pelbagai mod untuk cuba menawarkan hasil gambar terbaik. Di suasana dengan sumber cahaya yang terang seperti lampu cerah atau cahaya matahari – hasil gambar peranti ini adalah sedikit lebih baik berbanding Redmi Note 11 Pro 5G. Malah, butiran juga lebih terpelihara dan warna juga adalah lebih cantik.
Mod lain seperti sudut ultra-lebar, mod malam – warna dan fokus boleh dikatakan ada sedikit masalah – tetapi bukan satu isu serius kerana ini adalah peranti kelas pertengahan dan kita tidak boleh harapkan ia mempunyai kualiti seakan peranti mercu yang harganya adalah 2-3 kali ganda.









Bateri
Bateri di sini ada sedikit masalah dengan kadar segar semula 120Hz. Disebabkan ia bukan jenis adaptif dan semuanya sentiasa 120Hz, bateri akan lebih cepat habis. Maksima saya gunakan adalah 5 jam SOT untuk penggunaan biasa dan jika ada banyak penstriman dan penggunaan data dan kamera, ia bertahan sekitar 4 jam SOT sahaja.

Walaupun begitu, 120W HyperCharge adalah sesuatu yang gila dahsyat dan hebat. Saya hanya sambungkan kabel, ketika bateri 1% dan masuk ke tandas untuk ambil wuduk lalu solat Maghrib selepas berbuka puasa – selesai solat peranti telah pun capai 100%. Kurang 15 minit ia boleh penuh dan peranti ada sedikit memanas, yang tidak senang. Jika risau, ada ciri dalam MIUI untuk pengguna kawal kelajuan pengecasan ini agar kesihatan peranti terjamin.
Audio
Speaker stereo pada peranti ini adalah satu bonus. Walaupun ada Dolby Atmos, ia seakan tiada kerana hasil bunyi keseluruhan lebih kepada flat dan tidak begitu enak. Ia tiada pengalaman pendengaran yang merdu, sebaliknya lebih kepada kuat sahaja.

Pesaing
Redmi Note 11 Pro+ 5G | Realme 9 Pro+ | Redmi Note 11 Pro 5G |
6.81″ IPS LCD, 1080 x 2388, 120Hz, (385 ppi) | 6.4″ SAMOLED FHD+, 90Hz, HDR10+ | 6.67″ AMOLED, 1080 x 2400, 120Hz, HDR10+, (400 ppi) |
MediaTek Dimensity 920 (6nm) 2 X 2.5 GHz Cortex-A78 6 X 2.0 GHz Cortex-A55 | MediaTek Dimensity 920 (6nm) 2 X 2.5 GHz Cortex-A78 6 X 2.0 GHz Cortex-A55 | Snapdragon 695 (6nm) 2 X 2.2 GHz Kryo 660 Gold 6 X 1.8 GHz Kryo 660 Silver |
Mali-G68 MC4 | Mali-G68 MC4 | Adreno 619 |
8 GB LPDRR4x | 8 GB LPDDR4x | 8 GB LPDDR5 |
128 GB UFS 2.2 | 256 GB UFS 2.1 | 128 UFS 2.2 (Mikro SD 1TB) |
Kamera Utama 108MP, f/1.9 (utama) 8MP, f/2.2 (ultra-lebar) 2MP, f/2.4 (makro) | Kamera Utama 50MP, f/1.8 (utama) 8MP, f/2.2, (ultra-lebar) 2MP, f/2.4 (makro) | Kamera Utama 108+8+2 Megapixel (f/1.9+f/2.2+f/2.4) |
Kamera Hadapan 16-Megapixel | Kamera Hadapan 16-Megapixel | Kamera Hadapan 16-Megapixel |
IP53 | Tidak kalis air | Tidak kalis air |
Bicu audio | Bicu audio | Bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
4500 mAh (Berwayar 120W) | 4500 mAh (Berwayar 60W) | 5000 mAh (Berwayar 67W) |
RM 1499 (8/128GB) RM 1599 (8/256GB) | RM1599 (8/ 256 GB) | Harga RM1299 (8/128GB) |
Kesimpulan
Dalam pengalaman penggunaan saya, Redmi Note 11 Pro+ 5G memberikan pengalaman lebih baik dari segi prestasi dan kamera. Bateri tidak begitu hebat, tetapi pengecasan lebih pantas dan amat membantu. Seakan magis bateri yang lemah seakan belum berbuka puasa terus bertenaga seakan kekenyangan makan juadah enak.
Mudah untuk saya simpulkan ulasan ini adalah, jika anda belum membeli mana-mana Redmi Note 11, model ini adalah model yang patut anda beli setakat ini. Ia lebih hebat, skrin lebih pantas, dan anda mungkin tidak akan rasa kecewa dengan pilihan anda. Biar mahal sedikit, tetapi ia tidak akan membuatkan anda rasa kesal di kemudian hari. Pendek kata varian yang ke enam (sebenarnya Redmi Note 11 ada enam kesemuanya) ini ialah yang harus menjadi idaman.

Pro
- Skrin AMOLED cantik dan pantas, 120Hz.
- Dimensity 920 yang lancar dan pantas serta ada 5G.
- Rekaan peranti yang premium dan sedap dipegang.
- Pengecasan pantas 120W, sekelip mata peranti siap dicas.
Kontra
- Masih Android 11 dengan MIUI 12.5, bukan MIUI 13.
- Kamera tiada OIS.
- Audio tidak enak walaupun stereo.
- Bateri sedikit lemah.
