Siri komputer riba Razer secara lazimnya terkenal di kalangan gamer kerana rekaannya yang serba minimalis dan padat, tetapi mengandungi spesifikasi gaming yang sangat berkuasa. Terkini, syarikat gaming tersebut telah bekerjasama dengan syarikat pembelajaran mesin Lambda untuk membangunkan sebuah komputer riba khusus untuk tujuan tersebut.

Dinamakan Razer x Lambda Tensorbook, komputer riba ini dilihat hadir dengan rekaan Razer Blade 15, cuma apa yang berbeza disini ialah ia hadir dengan logo Lambda di bahagian belakang komputer riba ini, dan teks Razer x Lambda di bahagian bawah panel paparan skrin.
Spesifikasi komputer riba ini juga tidak jauh berbeza dengan apa yang ditawarkan biasanya pada komputer-komputer riba Razer. Ini termasuklah paparan skrin 15.6 inci dengan resolusi 1440p dengan kadar segar semula 165Hz dan dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core i7-11800, memori DDR4 sebanyak 64GB dan storan SSD NVMe sebesar 2TB.

Dari segi penawaran kad grafik pula, komputer riba ini dimuatkan dengan sebuah NVIDIA GeForce RTX 3080 yang mana jika ini ialah sebuah komputer riba gaming biasa, ia cukup berkuasa untuk menggerakkan sebarang permainan komputer pada apa sahaja resolusi tanpa masalah.
Sebagai sebuah komputer riba yang memfokuskan kepada keperluan pembelajaran mesin, ia menggunakan sistem operasi Ubuntu 20.04 dan hadir dengan perisian-perisian Lambda sendiri yang diperlukan untuk memudahkan tugasan-tugasan seperti penyusunan, ramalan, pengukuhan data dan sebagainya.

Komputer riba Tensorbook ini sudah mula dijual di laman web Lambda pada harga permulaan $3499.