Pemberian Dos Pertama Vaksin COVID-19 Dibawah Program PICKids Akan Berakhir Pada 15 Mei Ini

Diterbitkan pada Apr 13, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada bulan Februari tahun ini, kerajaan telah memulakan program vaksinasi PICKids untuk kanak-kanak berumur 5-12 tahun. Dalam dua bulan program ini dijalankan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan bahawa seramai 1,371,320 kanak-kanak ataupun 38.6 peratus populasi kanak-kanak di Malaysia telah menerima suntikan pertama tersebut.

Dalam pada itu, hanya seramai 195,865 kanak-kanak telah menerima suntikan kedua, dan merujuk kepada jumlah angka kanak-kanak yang telah divaksinasi ini, pihak KKM dilihat perlu membuat pengumuman yang agak serius mengenai program ini.

Vaksin-vaksin yang ditawarkan untuk mencegah kesan teruk wabak COVID-19 ini secara lazimnya mempunyai jangka-hayat yang tidak begitu lama. Vaksin Comirnaty untuk kanak-kanak misalnya mempunyai jangka-hayat enam bulan sebelum ia tidak boleh digunakan.

Berdasarkan jumlah dos vaksin yang masih belum digunakan lagi, pihak KKM telah menetapkan 15 Mei 2022 sebagai hari terakhir untuk penerimaan dos pertama vaksin Comirnaty dan juga CoronaVac untuk kanak-kanak.

Selepas tarikh tersebut, vaksin Comirnaty keluaran Pfizer tidak lagi akan ditawarkan dimana-mana, manakala vaksin CoronaVac untuk kanak-kanak hanya akan ditawarkan di hospital-hospital swasta tempatan. Ibu bapa diberikan tempoh sehingga 8 Mei 2022 untuk mendaftarkan anak mereka menerusi MySejahtera jika masih ingin menerima vaksin di bawah PICKids.

Walau bagaimanapun tarikh akhir ini tidak melibatkan vaksinasi bagi kanak-kanak yang lahir pada tahun 2017 yang belum mencapai umur 5 tahun pada 15 Mei 2022. Kanak-kanak di dalam kategori ini boleh mendapat vaksinasi Covid-19 dengan mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

komen


© Amanz / 2022 Kami