Cari @ Amanz

Cip pemprosesan Apple M1 telah mengubah dunia. Apple telah membuktikan yang cip mereka ini mempunyai kemampuan prestasi di luar jangkaan orang ramai. Ia adalah cip terbaik untuk sebuah komputer produktiviti yang boleh dikatakan antara yang terhebat setakat ini. Tidak cukup dengan itu, Apple juga menarik perhatian orang ramai dengan iPad Pro yang dijana dengan cip M1 ini pada April 2021 lepas.

Sekitar setahun kemudian, cip M1 ini digunakan pula pada iPad Air generasi kelima. iPad Air adalah tablet kelas pertengahan premium daripada Apple, dengan cip M1 ini ia menjadikan tablet yang dijual bermula bawah RM3K ini setanding sebuah MacBook Air M1. Tapi sejauh manakah kehebatan tablet ini dan adakah ia berbaloi untuk dimiliki?


Spesifikasi Dan Rekaan

iPad Air M1 (Generasi Ke-5)
Skrin10.9″ Liquid Retina IPS, 1640 x 2360,
True Tone, 60Hz
PemprosesApple M1 (5nm)
Cip8-teras CPU
Apple Neural Engine
Cip GrafikApple GPU 8-Teras
RAM8 Gigabyte
Muatan Dalaman64/256 GB
Kamera Utama12 Megapixel, f/1.8
4K 60fps
Kamera Depan12 Megapixel f/2.4, sudut ultra lebar
Center Stage
Bateri28.6Wh
Pengecasan berwayar 20W (USB-C/USB-PD)
SIM/TelefoniWiFi Atau Selular (4G)
AudioSpeaker Stereo
Sistem ImbasanTouch ID pada butang kuasa
Harga JualanRM2699 (64GB, WiFi)
RM3349 (256GB, WiFi)
RM3349 (64GB, Selular)
RM3999 (256GB, Selular)

iPad Air 2022 ini secara keseluruhan masih sama sahaja dengan iPad Air 2020. Beza utama hanyalah pada cip pemprosesan, memori dan kamera swafoto sahaja. Skrin masih sama iaitu 10.9-inci IPS Liquid Retina. Skrin rata yang cukup luas dan lebar serta mempunyai bezel yang tidak begitu tebal dan tidak begitu nipis – sedap-sedap sahaja untuk pegang di tangan dengan tanpa ada masalah tapak tangan tersentuh. Skrin juga masih lagi 500nits, yang mana dalam penggunaan saya sepanjang dua minggu ini adalah memuaskan.

Skrin cantik dengan warna yang terang, butiran yang jelas serta mempunyai nilai HDR yang baik. Menggunakannya untuk tonton video daripada pelbagai platform penstriman masih sama dengan iPad Air 2020 iaitu satu kepuasan yang tidak banyak saya boleh keluh. Tetapi disebabkan ia adalah IPS iaitu LCD, warna hitam tidak begitu dalam. Lapisan pada skrin juga amat mudah menangkap kotoran cap jari.

iPad ini direka dengan rekaan nipis dan rata pada depan, belakang dan setiap sisi. Ia selesa di tangan untuk pengguna seperti saya yang ada tangan besar. Namun mengikut situasi, papan kekunci seperti Magic Keyboard diperlukan untuk satu pengalaman penggunaan yang lebih efisien.

Kali ini saya menggunakan warna biru, sedikit terang dan luar daripada kesukaan saya – tetapi masih nampak menarik kerana kesemua iPad saya miliki sebelum ini adalah kelabu. Tidak kira arah mana, iPad ini masih baik digunakan untuk pelbagai tugasan dan aplikasi. Butang kuasa di atas yang juga adalah Touch ID, walaupun teknologi kuno – ia masih membantu sedikit. Bolehlah. Butang sisi adalah untuk aras suara, kemudian ruang magnet untuk Apple Pencil, dan tidak lupa atas dan bawah ada empat kekisi speaker dengan di bawah ada port sambungan USB-C.

Penggunaan Dan Perisian

iPad Air generasi ke-4 atau iPad Air 2020 semasa saya gunakan untuk ulasan di Amanz menjalankan iPad OS 14. Kini saya sudah pun kemaskini iPad OS 15 dan telah menggunakannya untuk beberapa bulan. Dengan iPad Air M1 ini pula, juga dengan iPad OS 15 apa yang boleh saya katakan pengalaman penggunaan adalah sama sahaja. Saya tiada masalah serius yang menjengkelkan, sebaliknya semuanya berjalan dengan lancar dan kini berkali ganda lebih pantas.

Dari penggunaan Siri, Apple Pencil, menjalankan dua-tiga aplikasi serentak atau juga menggunakan iPad ini untuk pengurusan fail – semuanya saya sudah biasa dan tahu cara-cara untuk menggunakannya. Pengguna baharu juga tidak akan rasa asing dengan iPad OS 15 kerana ia padat dengan ciri dan fungsi menarik dan mudah untuk digunakan.

Apatah lagi dengan ekosistem Apple, yang gila mesra pengguna ini membuatkan saya semakin jatuh cinta dengan jenama buah-buahan ini. Saya menggunakan iPhone, jadi panggilan telefon akan masuk terus ke iPad. Kemudian jika saya tertinggal iPad di rumah dan dalam perjalanan ke pejabat, iPhone dan Apple Watch akan memberi notifikasi peringatan iPad saya tertinggal.

Apple Pencil

Saya bukannya seorang artis yang tahu melakar, tetapi saya gunakan untuk catat nota ketika dalam pejabat atau ketika rasa malas menaip. Saya menggunakan Apple Pencil hanya apabila iPad saya tidak bersambung dengan Magic Keyboard. Ciri Scribble adalah kegemaran saya, namun saya asyik lupa kawalan gestur yang ada kerana keliru dengan kawalan pada S-Pen.

Penanda Aras

Seperti biasa Apple menjadi Apple, dengan tidak banyak mendedahkan butiran cip pemprosesan mereka. Tetapi ini adalah cip M1 yang sama dengan yang digunakan pada MacBook Air M1. Memori yang digunakan juga adalah 8GB RAM iaitu pertama kali untuk iPad Air berbanding sebelum ini hanya 4GB RAM. Gandingan cip dan memori ini membuatkan tablet ini antara yang paling berkuasa sekarang.

Tetapi bagaimana dengan ujian penanda aras untuk tablet ini? Saya uji menggunakan Geekbench 5 dan AnTuTu untuk melihat sejauh mana ia boleh pergi, berikut adalah keputusan yang diperoleh;

  • Geekbench 5 – 1702/7061
  • AnTuTu – 943,912

Ini adalah skor yang lebih kurang sama dengan peranti Snapdragon 8 Gen 1 dengan 8GB RAM. Saya mengharapkan ia boleh mempunyai kuasa yang lebih tinggi namun tidak. Lagipun ini hanyalah untuk rujukan kerana prestasi sebenar adalah sentiasa pada penggunaan sendiri di dunia nyata dan bukannya digit-digit dari aplikasi digital.

Apabila ada cip M1, sudah tentu ujian pertama di Makmal Amanz yang saya bersama editor video kami adalah render video 4K. Perbandingan prestasi yang kami lakukan adalah iPad Air M1 2022 8GB RAM ini dengan MacBook Pro 15-inci 2018 Intel Core i7 Generasi ke-8 16GB RAM. Apa yang boleh kami simpulkan adalah MacBook mengambil masa lebih kurang 1.5 kali ganda lebih perlahan. Berikut adalah masa render pada iPad dengan video 4K yang mempunyai durasi 8 minit 38 saat;

  • Premiere Rush: 3 minit 24 saat (MacBook sekitar 4-5 minit)
  • iMovie: 5 minit 29 saat (MacBook sekitar 6 minit)

Ujian permua pula saya lakukan pada Asphalt 9 dan Call of Duty Mobile. Aslphalt 9 tiada masalah serius kerana grafik yang tidak begitu berat. Tidak pasti sama ada pepijat atau pun masalah pada M1 sendiri, ia mempunyai masalah grafik sekitar kuang 1 saat ketika sedang bermain. Selain itu ia hanya memberikan pengalaman bermain yang seronok. Untuk COD Mobile, tetapan grafik tidak boleh ditetapkan kualiti grafik paling tinggi dan FPS paling tinggi. Ia perlu selang-seli. Namun sepanjang saya main, saya alami pening kepala kerana ia terlampau pantas. Saya yakin ia adalah 60FPS atau mungkin lebih. Kualitinya juga adalah menakjubkan dan saya yang sudah lama tidak main COD mempunyai pengalaman bermain yang mengasyikkan.

Kamera Dan Audio

Kamera pada iPad Air generasi ke-5 dengan cip M1 ini kedua-dua depan dan belakang adalah sensor 12MP. Ia bukanlah sensor yang terbaik, mungkin Apple hadkan dari segi perisian kerana sensor 12MP ini juga digunakan pada iPhone. Kualiti kamera dan video adalah tidak begitu cantik, ia penuh dengan hingar dan memerlukan banyak sumber cahaya untuk hasil yang memuaskan.

Tetapi untuk sesi telesidang seperti menggunakan Webex atau panggilan video menggunakan FaceTime, ciri Center Stage ini membuatkan saya rasa teruja. Ia pantas, hebat dalam fokus dan unik. Ia magis. Kamera 12MP di hadapan ini boleh mencari posisi saya untuk memberi fokus lebih dan audio yang lebih baik.

Speaker stereo pada peranti ini juga masih di antara speaker tablet kegemaran saya. Ia cukup lantang dan kuat, serta mempunyai kualiti yang tinggi. Tidak kira mendengar muzik atau menonton video, ini adalah contoh speaker yang patut semua tablet contohi.

Mikrofon pada iPad Air ini juga masih hebat. Ia mampu menangkap vokal saya dengan baik, malah bunyi bising di persekitaran saya juga dapat ditapis memberikan kualiti rakaman audio dan sesi panggilan video berkualiti tinggi.

Bateri

Bateri pada tablet ini hanyalah 28.6Wh sahaja. Kapasiti sebenar tidak didedahkan dan dalam penggunaan saya, iPad ini tidak mempunyai ketahanan bateri yang saya inginkan. Saya katakan begini kerana, kebanyakan iPad yang saya gunakan bateri boleh bertahan sehingga 15 jam SOT atau lebih. Tetapi kali ini saya hanya capai sekitar 9-10 jam SOT sahaja.

Ini adalah untuk penggunaan sederhana seperti strim video, sedikit permua, membaca, menulis artikel dan sedikit audio. Belum lagi penggunaan ekstrem. Tetapi ketahanan yang tidak seberapa ini saya salahkan iPad OS 15. Ini kerana iPad Air 2020 saya pun sejak kemas kini iPad OS 15 juga mengalami penurunan bateri yang mendadak. Pengecsan dalam kotak adalah 20W yang mengambil masa lebih 2 jam 30 minit untuk penuh. Namun saya menggunakan pengecas PD GAN 65W, yang mana saya jangka ia boleh mengecas pada kuasa sekitar 25-30 W kerana sekitar 2 jam sahaja boleh penuh.

Pesaing

iPad Air M1 (Gen Ke-5)Samsung Galaxy Tab S8iPad Pro 11-inci 2021
10.9″ Liquid Retina, 1640 x 2360, 60Hz 11.0″ TFT LCD, 1600 x 2560, 60Hz11.0″ Liquid Retina, 1668 x 2388, 60Hz
Apple M1 (5nm)
8-teras CPU
Apple Neural Engine
Snapdragon 8 Gen 1 (5nm)
1x 3.0 GHz Cortex-X2
3x 2.5 GHz Cortex-A710
4x 1.8 GHz Cortex-A510
Apple M1 (5nm)
8-teras CPU
Apple Neural Engine
8-teras GPUAdreno 7308-teras GPU
8GB8GB8/16 GB
64GB/256 GB128/256 GB + MicroSD 128/256GB/512 GB
1/2 TB
Kamera Utama
12 Megapixel, f/1.8
Kamera Utama
13+6 Megapixel
f/2.0+f/2.2
Kamera Utama
12 Megapixel, f/1.8
Kamera Hadapan
12 Megapixel f/2.4
Center Stage
Kamera Hadapan
12 Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
12 Megapixel, f/2.4
Tiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
28.6Wh
(Berwayar 20W)
8000mAh
(Berwayar 45W)
28.65Wh
(Berwayar 18W)
RM2699 (64GB, WiFi)
RM3349 (256GB, WiFi)
RM3349 (64GB, Selular)
RM3999 (256GB, Selular)
Bermula RM3299 (8/128 GB)Bermula RM3,499 (128/8 GB)

Kesimpulan

iPad Air M1 ini adalah iPad Air terbaik yang pernah saya gunakan. Ia mempunyai skrin yang masih sama, cantik dan memuaskan, prestasi yang lancar dan pantas, kamera dan audio yang memadai untuk sebuah tablet serta ketahanan bateri yang bolehlah. Untuk penggunaan produktiviti saya, besar kemungkinan saya akan kekal dengan iPad Air 2020 lagi, kerana versi M1 ini terlampau berkuasa untuk saya dan saya tidak tahu apa lagi saya boleh lakukan untuk memanfaatkan kemampuan pada tablet ini.

Jika anda adalah seorang pengguna yang aktif dalam fotografi, dron dan suntingan video asas – iPad Air ini adalah untuk anda kerana kemampuan kerja-kerja suntingan yang pantas. Jika anda gemar bermain permua pada skrin besar, ini juga baik dan ia juga menyokong tambatan dengan alat kawalan seperti Xbox atau DualSense, dan jika anda ada duit lebih inginkan M1 juga pada sebuah tablet – ini adalah tablet M1 ‘murah’ di pasaran selain iPad Pro.


Pro

  • Skrin yang masih cantik dan menarik.
  • Prestasi yang berkali ganda lebih hebat.
  • Speaker stereo yang enak dan sedap didengari.
  • Banyak ciri produktiviti, termasuk Apple Pencil mudah digunakan.

Kontra

  • Bateri tidak sehebat iPad OS 14.
  • Papan kekunci dan Apple Pencil dijual berasingan untuk satyu kelengkapan ekosistem.
  • Skrin masih 60Hz dan tidak menyokong ProMotion.
  • Pengecasan yang perlahan dan tidak pantas.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd