Butang tidak suka atau dislike adalah butang yang direka dengan rekaan ibu jari tunjuk ke bawah. Di YouTube angka tidak suka apabila butang ini ditekan telah disembunyikan kepada umum untuk menjaga keamanan di ruangan komen.
Butang dislike ini adalah untuk memberi maklum balas jika dilihat dari sudut positif dan boleh juga jadi sebagai lambang benci jika dipandang dari perspektif negatif.

TikTok kini sedang menguji butang yang sama untuk ruangan komen di aplikasi mereka. Walau bagaimanapun, hanya pengguna yang menekan butang tidak suka ini sahaja akan lihat apa yang mereka lakukan. Pencipta kandungan dan pengguna lain tidak akan nampak. Menurut TikTok ini adalah untuk memberi semangat positif kepada pencipta kandungan, mempunyai ruangan komen dengan aura positif, tidak ada pengguna toksik dan untuk kesedaran kepada mereka yang menekan butang itu tadi.
Sementara dengan itu, TikTok turut akan memberi peringatan kepada pencipta kandungan untuk menggunakan alatan tersedia untuk menguruskan komen-komen seperti menapis, halang atau padam komen.
Boleh dikatakan, ciri ini adalah untuk pembenci syok sendiri. Ia juga masih di peringkat ujian dan tidak pasti jika akan diedarkan secara meluas akan datang.