Cari @ Amanz

Apa Yang Kita Ketahui Tentang Program PerantiSiswa Buat Masa Ini

Oleh Nazrin

Link Copied!

Pendaftaran untuk program PerantiSiswa akan dibuka bermula hari esok, dimana ia dilihat akan membantu seramai 350,000 para siswa yang tergolong dalam kumpulan ekonomi B40 untuk mendapatkan sebuah peranti yang boleh digunakan untuk tujuan pembelajaran dalam kuliah tanpa perlu menambahkan beban kepada ibu-bapa ataupun penjaga.

Tablet

Didalam artikel ini, kami akan cuba untuk menjawab beberapa persoalan yang mungkin orang ramai akan ada mengenai program ini, dan juga peranti-peranti tablet yang akan diperkenalkan untuk para siswa yang akan cuba untuk mendapatkannya.

Apakah Peranti Yang Akan Diberi?

Pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia baru sahaja mengeluarkan senarai penuh spesifikasi minimum peranti tablet yang perlu dipenuhi oleh pembekal tablet yang akan digunakan untuk program ini, dan ia adalah seperti berikut:

Skrin 10.1” Paparan HD, 1280×800 pixel
○ Android OS 10 dan ke atas
○ 4G LTE (menyokong frekuensi LTE telco di Malaysia)
○ Minimum RAM 4GB
○ Minimum storan 64GB
○ Slot SD Micro sehingga 256GB
○ Kamera hadapan minimum 2MP
○ Kamera belakang minimum 5MP
○ Pembesar suara terbina dalam dan bicu audio 3.5mm
○ Bluetooth 4.1 dan ke atas
○ WiFi 2.4GHz & 5Ghz
○ Bateri minimum 4500 mAh
○ Pengecas USB disertakan
○ Papan kekunci bluetooth disertakan
○ Pen stylus disertakan.

Buat masa ini, jenama peranti tablet yang akan diberikan dibawah program PerantiSiswa ini masih belum diketahui lagi. Ini adalah kerana walaupun pihak K-KOMM memberikan spesifikasi yang perlu dipenuhi oleh pembekal, proses perolehan peranti ini dijalankan sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

Buat masa ini, nampaknya proses perolehan tablet ini masih belum siap lagi, tetapi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengatakan bahawa beliau akan memberi butiran lebih lanjut mengenai program ini melalui sebuah temuramah pada hari Isnin hadapan, dan mungkin juga pembekal tablet yang akan digunakan sekiranya proses perolehan telah lengkap.

Pada minggu lepas, beliau juga telah memperlihatkan sebuah contoh tablet yang mungkin akan diberikan untuk program ini, tetapi seperti yang dikatakan, pihak K-KOMM dan Kementerian Kewangan masih lagi dalam proses untuk mengesahkan peranti-peranti manakah yang cukup layak untuk digunakan didalam program ini.

Melalui pengumuman yang dibuat sewaktu Belanjawan 2022 pada tahun lepas, kerajaan dilihat akan membelanjakan sebanyak RM450 juta untuk tablet-tablet PerantiSiswa, yang mana pihak K-KOMM menyasarkan 350,000 tablet sepanjang tahun ini untuk kegunaan siswa B40.

Tan Sri Annuar Musa turut mengatakan bahawa tablet-tablet yang akan ditawarkan melalui program ini bukanlah tablet daripada pengeluar OEM, tetapi ia juga tidak akan terdiri daripada jenama-jenama premium seperti Apple ataupun Samsung.

Soalan Lazim Berkenaan PerantiSiswa

Kami pasti ada banyak persoalan mengenai program PerantiSiswa ini, dan disini kami akan cuba menjawab sebanyak mana pertanyaan yang mungkin akan diajukan sebaik yang mungkin.

Melalui apa yang diberitahu kepada kami oleh pihak K-KOMM, program ini akan melibatkan mahasiswa warganegara Malaysia dalam kelompok keluarga B40 iaitu keluarga yang mempunyai purata bulanan
pendapatan isi rumah di bawah RM4,850 dan menuntut di peringkat pengajian diploma, diploma lanjutan dan ijazah sarjana muda daripada Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), Politeknik, Kolej
Komuniti dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

Pelajar

Lebihan kepada itu, hanya siswa sepenuh masa boleh mendaftar untuk mendapatkan peranti ini, dan mereka yang mengikuti pengajian separuh masa ataupun secara sambilan tidak layak mendapatkan peranti ini.

Malah, siswa tahun terakhir (pada tahun 2022) di universiti dan kolej juga tidak boleh mendaftar kepada PerantiSiswa untuk mendapatkan tablet tersebut. Ini mungkin berkemungkinan besar kerana untuk tahun terakhir, para siswa-siswi dijangka sudahpun memiliki kelengkapan yang diperlukan untuk mengakhiri pengajian mereka.

Siswa yang telahpun menerima bantuan peranti daripada mana-mana program kerajaan yang lain juga tidak layak untuk memohon daripada program PerantiSiswa ini.

Laman web PerantiSiswa sudahpun dibuka dan para siswa boleh mula mendaftar untuk mendapatkan tablet tersebut. Tutorial untuk pendaftaran butiran dan cara untuk memohon juga akan diperlihatkan pada laman web tersebut.

Butiran yang akan diminta untuk permohonan PerantiSiswa ini termasuklah nama, alamat, butiran institusi pengajian tinggi dan butiran ibu-bapa termasuklah jumlah gaji mereka.

Anda juga diingatkan bahawa butiran permohonan tersebut tidak boleh disunting selepas dihantar, jadi nasihat kami ialah untuk menyemak semula betul-betul butiran yang dimasukkan sebelum anda menghantarnya.

Mereka yang mendaftar dan layak untuk mendapatkan tablet PerantiSiswa akan menerima emel pengesahan bahawa mereka boleh menerima tablet tersebut. Agihan tablet tersebut akan dilakukan pada bulan Jun kelak, dimana cara agihan tablet tersebut akan diumumkan oleh pihak PerantiSiswa di masa akan datang.

Pihak kerajaan juga mengatakan bahawa berdasarkan data pelajar yang mereka perolehi, program PerantiSiswa ini dijangka akan mengagihkan 350,000 buah peranti tablet sepanjang tahun 2022 ini secara berperingkat, yang berkemungkinan akan diagihkan kepada IPT-IPT dengan jumlah siswa B40 yang tertinggi terlebih dahulu.

Peranti tablet ini juga akan diberikan secara Kaedah Guna Pakai, dimana penerima akan perlu memulangkan peranti tersebut selepas tamat pengajian ataupun atas alasan-alasan tertentu seperti:

  • Menamatkan pengajian
  • Berhenti pengajian
  • Bibuang pengajian
  • Menyalahgunakan peranti yang dibekalkan sehingga mendatangkan kemudaratan atau menyalahi undang-undang negara; atau
  • Melanggar apa-apa syarat yang ditentukan oleh Pentadbir Program dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, sebarang kerosakan kepada tablet yang diberikan, ataupun jika tablet tersebut hilang boleh menyebabkan siswa untuk dikenakan penalti yang akan ditetapkan pentadbir program PerantiSiswa ini.

Sama juga apabila peranti tersebut dipulangkan setelah tamat pengajian, sebarang kerosakan ataupun cacat-cela yang diperlihatkan pada peranti ini mungkin boleh menyebabkan penerima tablet untuk dikenakan penalti juga.

Bagi mereka yang mahu memohon peranti ini, walaupun mereka tidak tergolong dalam kumpulan B40, tetapi mempunyai alasan munasabah seperti ibu-bapa kehilangan pekerjaan, malapetaka melanda rumah seperti kebakaran ataupun banjir, rayuan boleh dibuat untuk mendapatkan peranti ini untuk kegunaan di IPT.

Konvo Universiti

Pada pengetahuan kami, proses permohonan program PerantiSiswa ini tiada tarikh tutup yang diberikan, jadi anda boleh memikirkan dahulu keputusan untuk memohon peranti ini.

Proses permohonan untuk PerantiSiswa ini dilihat tidak begitu rumit, dan kami jangkakan bahawa majoriti, jika tidak semua pemohon akan menerimanya, tetapi nasihat kami ialah untuk anda membaca terma dan syarat yang dipaparkan sebelum memohon untuk peranti ini.


Komen ()