
Pada minggu ini, barisan peranti pintar Oppo di bawah siri A telah dikemaskini dengan penawaran baharu. Melaluinya, Oppo A96 telah diperkenalkan dengan cip Snapdragon 680, sekaligus penawarannya hanya terhad pada rangkaian 4G sahaja. Pengenalannya turut sama bersaing dengan sejumlah model sedia yang dijana oleh cip yang sama. Misalnya seperti Realme 9i, Redmi 11 dan sebagainya.
Bagi yang bertanyakan tentang titik jualan peranti ini, ia mengetengahkan beberapa aspek utama. Salah satu daripadanya adalah jangka hayat bateri yang baik. Ia diikuti dengan perkakasan yang boleh diharap untuk penggunaan sebahagian besarnya aktiviti harian. Bukan itu sahaja, ia juga lengkap dengan kemasan fizikal yang berkonsepkan moden dan kontemporari. Namun persoalannya, adakah apa yang ditawarkan adalah cukup bagi memenuhi keperluan pengguna hari ini? Bagaimanakah prestasinya dalam dunia nyata? Teruskan membaca untuk ketahui dengan lebih lanjut.
Spesifikasi Ringkas Peranti
Telefon Pintar | Oppo A96 4G |
Skrin | 6.59-inci, IPS LCD, 90Hz, FHD+ (1080 x 2412 piksel) (~401 ppi) |
Pemproses | Snapdragon 680 (6nm) 4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold 4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver |
Cip Grafik | Adreno 610 |
RAM | 8GB RAM |
Muatan Dalaman | 128GB ROM (UFS 2.2) |
Kamera Utama | Utama – 50MP (f/1.8) Potret – 2MP (f/2.4) |
Kamera Swafoto | 16-MP (f/2.0) |
Bateri | 5,000mAh Pengecasan pantas 33W |
SIM/Telefoni | SIM Nano + SIM Nano + MicroSD |
NFC | Tiada |
Bicu Audio | Ada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari sisi Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM1299 |
Skrin sebesar 6.59-inci berteknologi IPS LCD digunakan pada peranti pintar ini. Perbezaan saiz dan jenis skrin di sini adalah agak ketara berbanding 6.43-inci AMOLED yang digunakan pada model sebelum ini. Namun begitu, tiada perubahan yang berlaku untuk resolusi dan sokongan kadar segar semula. Sebaliknya, ia masih dikekalkan pada resolusi 1080P dan kadar segar semula mencapai 90Hz. Ia bagaimanapun boleh diubah kepada 60Hz secara manual menerusi tetapan bagi mengurangkan penggunaan bateri.

Sebagai pilihan lain, terdapat juga tetapan yang dinamakan sebagai Auto-Select yang membolehkan kadar segar semula berubah secara automatik bergantung pada keperluan sesuatu aplikasi atau kandungan yang dipaparkan. Dalam pada itu, panel hadapan dilihat turut mengambil inspirasi daripada rekaan model terdahulu. Melaluinya, Oppo A96 4G menggunakan skrin berlubang yang menyokong kamera swafoto tunggal. Ia juga adalah sejenis rata dengan padanan saiz bezel yang seimbang pada bahagian sisi serta atas. Tetapi, tidak pada bahagian bawah seumpama peranti-peranti kelas pertengahan sedia ada.
Beralih ke bahagian belakang, terdapatnya dwi-kamera utama yang diletakkan dalam dua bonggol berbeza. Ianya disusun secara menegak, kemudiannya diikuti dengan satu lampu LED Flash bersebelahan lensa atas. Turut boleh dilihat adalah perkataan ’50MP Sensor AI’ yang jelas menunjukkan sensor utama yang menyokong adalah sebesar 50-Megapixel. Bukan itu sahaja, terdapat juga penjenamaan ‘Oppo’ pada bahagian bawah. Bagi yang bertanyakan mengenai warna, unit yang diterima di dalam artikel adalah Oppo A96 4G dalam kemasan Pastel Pink.

Pada kami, warna ini lebih ke arah putih dan bukan ke arah merah jambu. Kehadiran kemasan dengan dekorasi berkilat turut dilihat saling melengkapi. Ia bagaikan satu padanan yang ideal, sekaligus menghasilkan sentuhan tata hias yang memukau. Bagi mereka yang inginkan warna yang minimalis pula, Oppo A96 dalam kemasan Starry Black boleh dijadikan pilihan. Sebelum terlupa, tubuh peranti diperbuat daripada binaan jenis poli-karbonat dengan padanan bingkai aluminium.
Pada bahagian kanan peranti menempatkan butang kuasa, di samping turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Melihat pada saiz peranti, kedudukan pengimbas cap jari ini adalah ergonomik dan mudah dicapai. Butang laras audio dan slot kad SIM pula boleh ditemui pada bahagian kiri. Slot ini hadir dengan rekaan tiga ruang yang membolehkan pengguna memanfaatkan kedua-dua SIM dan kad microSD secara serentak.

Bahagian atas pula hanya terdapatnya lubang untuk mikrofon. Manakala, sambungan lain seperti port USB-C pula diletakkan pada bahagian bawah bersama-sama dengan bicu audio 3.5mm, lubang mikrofon dan pembesar suara. Menyentuh sedikit mengenai pembesar suaranya, ia adalah sejenis stereo tanpa sokongan talaan dari Harman Kardon atau Dolby Atmos. Untuk prestasi, audio yang dihasilkan sekadar sederhana sahaja. Bunyi yang dihasilkan kedengaran tidak seimbang dengan satu pembesar suara dihala ke depan, sementara satu lagi berada di bahagian bawah.
Antaramuka & Sistem Operasi

Oppo A96 menggunakan antaramuka ColorOS 11.1 yang dibina berasaskan Android 11. Ini adalah antara muka yang sama digunakan pada siri Oppo Reno5 dan Reno6. Apa boleh diringkaskan adalah ianya kemas dan mudah digunakan. Pelbagai ciri asas yang disediakan mudah digunakan. Dalam masa sama, ia turut menyediakan ciri-ciri kustomasi agak pelbagai dengan sokongan tema turut boleh merubah rekaan ikon serta paparan skrin peranti. Lain-lain ciri yang menyokong termasuklah :
- Customizable Ringtone – Membolehkan nada dering diubah mengikut kesesuaian sendiri. Dalam pada itu, ia turut dieksport menjadi fail MP3.
- Customizable Dark Mode – Terdapat 3 jenis mod tema gelap yang digabungkan dengan ciri Auto Brightness untuk pengalaman tontonan lebih selesa.
- Three-Finger Translate Instant Translation – Membolehkan terjemahan pantas dibuat secara terus daripada tangkapan layar.
- Perkongsian Fail Tanpa Data – Berkongsi pelbagai bentuk kandungan termasuklah imej, video dan fail dengan peranti Android berhampiran tanpa menggunakan data.
- Super Power Saving Mode – Fungsi yang mengehadkan penggunaan aplikasi latar untuk ketahanan bateri lebih lama.


Pengalaman Penggunaan
Sama seperti model sebelum ini, kami akui pengalaman memegang Oppo A96 4G sememangnya terasa selesa. Kerangka pada tubuh yang digunakan adalah kukuh dan sedap untuk dipegang. Pada masa sama, ia juga tidak terlalu licin dan tidak mudah dicemari dengan kotoran cap jari. Dengan binaan yang nipis dan ringan pula, ternyata memudahkan memudahkan anda untuk menyimpannya di dalam poket seluar atau beg kecil tanpa masalah. Kemudian, binaan kamera peranti juga kini lebih nipis. Terima kasih kepada Oppo kerana mendengar keluhan kami yang merungut mengenainya pada model sebelum ini kerana ia mudah calar jika tidak dijaga dengan baik.

Seterusnya, paparan skrin masih lagi terang dan cantik walaupun menggunakan panel IPS LCD. Cumanya, di bawah cahaya matahari yang terang kandungan pada skrin agak sukar untuk dibaca. Tatalan adalah lancar terutamanya jika mod skrin 90Hz diaktifkan. Tetapi, aplikasi mengambil sedikit masa untuk dibuka. Kemudian, terdapat seperkara yang agak aneh kami temui pada peranti ini. Di mana, sewaktu aplikasi mahu ditutup menggunakan butang close all. Ianya tidak berlaku, sebaliknya, beberapa aplikasi telah dikunci. Meskipun aplikasi berkenaan dinyahkunci, perkara yang sama masih juga berlaku dan ini tidak diketahui mengapa.

Penggunaan cip Snapdragon 680 telah mengehadkan sokongan peranti kepada rangkaian 4G sahaja. Kemudian, pengalaman penggunaan adalah cukup memadai untuk melakukan tugasan harian. Sungguhpun pada dasarnya, peranti terasa perlahan dengan sedikit sela masa. Namun, pengalaman itu tidak seumpama ketika menggunakan Realme 9i yang turut menggunakan cip yang sama. Masalah aplikasi tertutup dengan sendiri atau gagal berfungsi juga tidak berlaku. Selain itu, ia juga tidak mudah menjadi panas selepas digunakan untuk masa agak lama. Untuk permua jua masih baik-baik sahaja. MLBB dan PUBG boleh dimainkan dengan kadar bingkai yang stabil.

Bercakap mengenai prestasi sistem keselamatan pula, pengimbas cap jarinya berfungsi dengan baik. Ia mampu menyahkunci peranti dengan pantas, tetapi jari perlu sentiasa kering. Bagi yang memerlukan sistem imbasan wajah, ia turut sama ditawarkan dan boleh ditetapkan menerusi menu tetapan. Prestasinya juga adalah baik dengan syarat mata tidak ditutup dan tanpa pelitup muka.
Kamera
Oppo A96 4G dilengkapi sistem dwi-kamera dengan tetapan 50-Megapixel (utama) + 2-Megapixel (bokeh). Pada kami, peranti dirasakan lebih menarik jika Oppo menyertakan sensor ultra-lebar. Tambahan pula, musim perayaan yang bakal tiba dan kebiasaannya waktu begini ramai orang mengambil peluang bergambar dengan sanak-saudara. Ia amat membantu dalam proses tangkapan berkumpulan. Sementara itu, kamera hadapan pula sebesar 16-Megapixel.

Kamera utama boleh mengambil gambar pada nisbah 4:3, 1:1 dan 16:9, sementara itu rakaman video pula boleh diambil pada resolusi tetapan maksimum 1080P/30fps. Mod-mod kamera yang disertakan adalah seperti Night, Video, Photo, Portrit, Slo-Mo, Timelapse, Expert, Extra HD, Pano, Text Scanner dan Sticker. Sokongan zum pula boleh mencapai maksimum 10X. Tidak ketinggalan, fungsi AI Retouching turut disokong dengan kebolehan seumpama AI Beauty Mode.







Prestasi dilihat sederhana dengan hasil gambar memuaskan untuk perkongsian di media sosial. Penghasilan semula warna nampak menyerlah dengan bantuan fungsi AI Scene Enchancement. Tetapi, butiran pada imej sebahagiannya besarnya tidak dijaga dengan baik. Akibatnya, gambar yang diambil tidak begitu tajam dan kelihatan lembut. Keadaan yang sama turut berlaku untuk gambar yang ditangkap dalam keadaan yang kurang cahaya. Kemudian, gambar potret juga menunjukkan hasil yang tidak kemas. Boleh dilihat dengan jelas ia gagal memisahkan objek dan latar belakang dengan baik, terutamanya helaian rambut manusia. Kamera hadapan pula mampu sahaja berfungsi dengan baik.
Telefoni & GPS
Sepanjang ulasan, rangkaian LTE sahaja yang dapat diuji kerana Oppo A96 bukanlah sebuah peranti 5G. Melaluinya, pengalaman panggilan suara dirasakan baik dan tiada isu melampau yang ditemui. Pada masa sama, suara pemanggil dan penerima boleh didengari dengan cukup jelas. Prestasi GPS juga adalah baik. Lokasi dapat dijejak dengan mudah dan tidak ada masalah sambungan terputus sewaktu menggunakannya.
Bateri
Oppo A96 dibekalkan bateri sebesar 5,000mAh dengan sistem pengecasan pantas 33W. Melaluinya, kami mampu mendapatkan ketahanan bateri sehingga 11 jam dalam penggunaan berat dengan SOT mencapai 6 jam. Dalam situasi berbeza, peranti mampu bertahan sehingga 13 jam dalam penggunaan yang sederhana dengan SOT sekitar 11 jam. Waktu itu bateri berbaki 2%. Ia juga mampu sahaja untuk bertahan sehari suntuk untuk penggunaan yang ringan, misalnya sekadar menggunakan aplikasi pemesejan atau menonton kandungan video secara berkala. Jelas kelihatan, ketahanan bateri adalah bergantung kepada penggunaan semasa. Apabila kehabisan bateri, peranti boleh dicas semula menggunakan port sambungan USB-C. Masa pengecasan yang diambil pula adalah sekitar 1 jam 30 minit untuk penuh.
Pesaing Peranti
Oppo A96 | Realme 9i | Redmi Note 11 |
6.59-inci IPS LCD, 1080 x 2412 (FHD+), 90Hz | 6.6-inci IPS LCD, 1080 x 2400 (FHD+), 90Hz | 6.43-inci AMOLED, FHD+ (1080 x 2400 pixel, (409 PPI) |
Snapdragon 680 4G (6 nm) 4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold 4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver | Snapdragon 680 4G (6 nm) 4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold 4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver | Snapdragon 680 4G (6 nm) 4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold 4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver |
Adreno 610 | Adreno 610 | Adreno 610 |
8GB RAM 128GB ROM | 4GB/6GB RAM 128GB ROM | 4GB/6GB RAM 64GB/128GB ROM |
Utama – 50MP (f/1.8) Potret – 2MP (f/2.4) | Utama – 50MP (f/1.8) Makro – 2MP (f/2.4) Potret – 2MP (f/2.4) | Utama – 64MP (f/1.8) Ultra-Lebar – 8MP (f/2.4) Kedalaman – 2MP (f/2.4) Makro – 2MP (f/2.4) |
16MP (f/2.4) | 16MP (f/2.4) | 13MP (f/2.0) |
Tidak Kalis Air | Tidak Kalis Air | Tidak Kalis Air |
Bicu Audio 3.5mm | Bicu Audio 3.5mm | Tiada |
Audio Stereo | Audio Mono | Audio Stereo |
5,000mAh Pengecasan 33W | 5,000mAh Pengecasan 33W | 5,000 mAh Pengecasan 66W |
Akan dikemaskini | RM799 (4GB / 128GB) RM869 (6GB / 128GB) | RM749 (4GB/128GB) RM799 (6GB/128GB) |
Kesimpulan
Ini adalah sebuah lagi peranti dengan janaan cip Snapdragon 680 di Malaysia. Ia boleh dikatakan mampu menjadi peranti pintar harian yang agak baik untuk pelbagai kegunaan. Menonton kandungan video terasa menyeronokkan dengan skrin yang terang dan cantik walaupun menggunakan panel IPS LCD. Ketahanan peranti juga tidak mengecewakan menerusi bateri 5,000mAh.
Kemampuan kameranya mungkin sederhana. Kemudian, kehilangan sensor ultra-lebar turut mencacatkan sedikit penawaran padanya. Tetapi, ia masih sesuai sahaja untuk dikongsi di media sosial tanpa perlu suntingan berlebihan. Ia mungkin bukan sebuah peranti yang sempurna, tetapi masih memadai untuk dimiliki oleh sebilangan pengguna bagi memenuhi keperluan harian. Bagi yang berminat, Oppo A96 dijual pada RM1299
Pro
- Rekaan nipis dengan kemasan yang cantik.
- Skrin yang terang meskipun sekadar IPS LCD.
- Kadar segar semula 90Hz.
- Ketahanan bateri yang baik.
- Bicu audio 3.5mm.
Kontra
- Prestasi hanya sederhana.
- Aplikasi gagal ditutup untuk sesetengah keadaan.
- Kamera sederhana dengan butiran yang kurang memuaskan.
- Adalah lebih baik sensor bokeh digantikan dengan sensor ultra-lebar.
- Audio tidak seimbang.
