Sudah terdapat Formula E yang menggunakan kereta elektrik dalam perlumbaan kenderaan roda terbuka di bawah FIA. Terdapat juga perancangan untuk menganjurkan perlumbaan kereta terbang dengan prototaip telah diperlihatkan beberapa tahun lalu. Selain itu terdapat juga usaha untuk mewujudkan sukan bot lumba elektrik dan minggu ini prototaip pertama telah diperlihatkan.
RaceBird ialah sebuah hidrofoil elektrik yang akan digunakan dalam siri perlumbaan E1. Ia dilengkapi motor elektrik 150kW dan bateri sebesar 35-kWh. Dalam situasi perlumbaan, pembina RaceBird menyasarkan kelajuan mencecah 50 knot (~93 km/j).

Apabila mencapai kelajuan tinggi, RaceBird akan terangkat dari permukaan air bagi mengurangkan rintangan. Penganjur juga berharap pek bateri boleh menawarkan jarak perjalanan sehingga 50 batu nautika dengan sekali caj.
UIM E1 World Electric Powerboat Series akan dimulakan seawal musim bunga 2023 dengan 12 pasukan kesemuanya. Dengan prototaip berjaya dibangunkan ia kini akan melakukan beberapa lagi siri ujian bagi melihat prestasi sebenar RaceBird.