Aplikasi Grab secara lazimnya digunakan untuk memanggil kenderaan seru-pandu ataupun untuk memesan makanan daripada restoran-restoran berdekatan ataupun untuk memesan barang-barang runcit tanpa perlu anda keluar dari rumah.

Terkini, aplikasi tersebut dilihat telah menambahkan satu fungsi baru, iaitu penstriman langsung terbina yang dinamakan GrabLive. Fungsi penstriman secara langsung ini sedang diuji dibawah program beta mereka.
Untuk mengakses fungsi ini, anda hanya perlu membuka aplikasi Grab anda, tatal aplikasi tersebut sehingga anda melihat bahagian Keep Discovering dan kemudiannya menekan logo yang memaparkan fungsi GrabLive.
Anda akan diminta untuk memasukkan nombor telefon anda untuk mengaktifkan fungsi ini dimana selepas itu, anda akan secara teknikalnya mengakses kandungan penstriman secara langsung melalui aplikasi ini.

Menariknya, fungsi penstriman ini membolehkan anda untuk juga menonton acara-acara penstriman yang mungkin anda telah terlepas, dan tidak terhad kepada menonton aktiviti penstriman yang sedang berlangsung sahaja.
Acara penstriman pertama yang akan diperlihatkan ialah “Glam Raya Bersama Grab” bersama Lazada dan Lilit yang akan memberikan anda tips fesyen untuk Hari Raya tahun ini. Acara ini juga akan dihoskan oleh Bella Zahir seorang pengacara rancangan digital yang cukup dikenali.
Acara tersebut akan keudara melalui GrabLive pada 16 April ini, bermula jam 2.00pm untuk Lazada dan 4.00pm untuk Lilit.