Cari @ Amanz

Rasanya sudah hampir sedekad kita hidup bergantung dengan Internet. Entah apa agaknya akan berlaku pada kita jika 24 jam langsung tiada akses Internet? Jika WiFi terputus pada peranti, kita akan menggunakan sambungan data mudah alih. Jika data tiada, kita akan gunakan hotspot kawan atau keluarga, dan jika itu juga bermasalah – kita akan gunakan WiFi umum seperti di kedai mamak dan sebagainya.

Dengan Hari Raya yang sudah semakin hampir, pasti tahun ini di kampung atau di rumah anda kelak akan ramai saudara-mara datang menziarahi selepas dua tahun tidak pulang menyambut hari lebaran ini. Rumah pasti akan sesak dan perkara yang pasti akan berlaku adalah, salah seorang tetamu tanpa rasa malunya akan tanya “Ada WiFi tak? Boleh kongsi password?” atau bagi yang bermuka Tembok Besar China akan berkata “Bak sini password WiFi!”.

Kadang kala anda sendiri terlupa kata laluan di rumah (kerana anda sendiri balik kampung ke rumah ibu bapa) atau kata laluan yang ditetapkan terlalu panjang/kompleks untuk diberikan kepada pelawat.

Maka hari ini saya kongsikan beberapa cara mudah untuk melakukan perkongsian WiFI di rumah dengan tetamu menggunakan ciri terbina pada peranti Android dan iOS. Cara yang saya sarankan ialah menggunakan kod QR kerana di fasa pra-andemik Covid-19 kita semua sudah membiasakan diri mengimbasnya kerana menggunakan MySejahtera setiap hari.

Ciri ini kami pilih kerana sudah terbina pada majoriti peranti Android 12 dan disokong pelancar pengeluar utama Samsing, Honor, Google, Vivo, Oppo, Realme, Xiaomi, Redmi, Poco, Sony dan banyak lagi.


Berikut adalah contoh tetapan WiFi untuk beberapa peranti Android. Antara yang saya senaraikan adalah Oppo, Pixel, Samsung, Xiaomi dan Realme. Kesemua peranti berbeza ini caranya adalah lebih kurang sama sahaja dan ia amat mudah kecuali iPhone yang akan saya jelaskan di penghujung artikel ini.

Realme

Setiap kali anda pergi ke tetapan WiFi, terus tekan nama WiFi anda yang sedang digunakan dan pilih kod QR. Selepas kod QR terpapar, anda akan diberi pilihan sama ada kongsi menggunakan imbasan kod atau kongsi dengan Nearby Share (Android 12 sahaja). Jika peranti anda tidak menjalankan Android 12, sokongan Nearby Share tidak akan terpapar. Dengan Android 12 juga, kata laluan akan terus terpapar ketika anda kongsi sambungan WiFi tadi.

Oppo

Oppo – contoh Android 11

Pada peranti Google Pixel, ia sedikit kemas dan lebih mudah diakses. Tekan ikon gear pada nama WiFi yang telah disambungkan, tekan ikon QR yang terpapar dan kod untuk dikongsi akan terus dipaparkan bersama-sama dengan kata laluan. Mana-mana Android 12 sekali lagi akan ada pilihan menggunakan Nearby Share.

Pixel

Peranti Samsung juga lebih kurang sama dengan Realme dan Pixel, kerana menjalankan Android 12. Cara yang lebih kurang sama, cuma Samsung melalui One UI menawarkan simpanan kod QR sebagai imej terus ke galeri peranti. Kemudian bagi peminat setia Samsung, selain Nearby Share – sokongan melalui Quick Share turut ditawarkan yang boleh menjadikan kod QR tadi sebagai pautan untuk dikongsi ke pengguna lain.

Samsung

Akhir sekali adalah Xiaomi. Bagi yang tidak tahu, MIUI sudah lama ada ciri ini dan jika saya tidak salah – mereka juga adalah antara yang terawal menawarkan ciri ini sebelum pesaing ikuti dan sekarang terus sedia terbina dalam Android 12. Ia juga antara yang paling ringkas dan menggunakan ekosistem tersendiri. iPhone tidak boleh imbas kod QR WiFi Xiaomi, tetapi Android lain tidak menjadi masalah. Peranti Xiaomi juga hanya buka tetapan WiFi, terus tekan untuk paparkan kod QR.

Xiaomi


Tip Bonus

Memandangkan semua kod QR ini mudah diakses, boleh lakukan tangkapan layar atau terus simpan sebagai imej dalam peranti. Untuk tidak menjadikan keadaan sukar, seperti terlampau ramai inginkan akses WiFi anda dan perlu kongsi satu demi satu atau Nearby Share tiba-tiba bermasalah – saya cadangkan anda terus cetak kod QR ini dan arahkan setiap pengunjung datang untuk imbas jika inginkan Internet.

Turut tidak lupa, ubah nama WiFi anda kepada nama yang akan memberikan kesedaran kepada pengunjung anda yang Hari Raya adalah untuk bersua muka bukannya menambah SOT peranti. Atau anda juga boleh tambah kod QR DuitNow untuk minta pengunjung anda duit raya.


iPhone & iPad Untuk Yang Setia Sahaja

Ia sedikit berbeza kerana terperangkap dalam ekosistem tersendiri Apple yang tertutup. iPhone dan iPad boleh imbas majoriti kod QR WiFi Android jika ingin bersambung kepada Internet. Tetapi jika anda adalah pengguna peranti Apple dan adalah hos di rumah untuk rumah terbuka, anda tidak boleh menjana kod QR seperti peranti Android.

Sebaliknya hanya di kalangan pengguna peranti iPad OS dan iOS yang telah menambah anda sebagai kenalan, rakan, atau keluarga dalam peranti sahaja boleh kongsi WiFi sesama sendiri.


Jadi itulah tips kongsi WiFi rumah kepada pengunjung rumah anda ketika menyambut hari lebaran yang penuh makna ini. Dua tahun ramai yang tidak dapat pulang ke kampung halaman, jadi luangkan masa anda dengan keluarga tersayang sebaik-baiknya, kurangkan masa pada skrin dan nikmati raya yang indah ini dengan penuh makna secara bersemuka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd