Carian
Huawei Matepad 10.4 2022 Dilancarkan Di Malaysia Pada Harga RM1599
April 20, 2022 Effi Saharudin

Huawei Malaysia akhirnya melancarkan tablet Huawei MatePad 10.4 2022 hari ini ketika acara Huawei Smart Office Launch. Tablet produktiviti ini menyasarkan golongan pekerja dan pelajar yang memerlukan tablet dengan pelbagai ciri yang membolehkannya digunakan juga seperti sebuah komputer riba.

Peranti dilengkapi skrin 10.4″ IPS LCD dengan resolusi 2K 16:9, dijana cip Kirin 710A, memori 4GB RAM, storan dalaman 128GB, kamera utama 13MP, kamera hadapan 8MP dan bateri sebesar 7250mAh. Terdapat sokongan papan kekunci fizikal merangkap kerangka dan tongkat serta sokongan stylus Huawei M-Pencil.

Peranti menggunakan sistem operasi HarmonyOS 2.0 yang membolehkannya digunakan dengan lancar bersama ekosistem Huawei yang lain. Ciri lain yang menarik ialah sokongan melancarkan dua aplikasi serentak dengan skrin dibahagi dua dan kolaborasi multi skrin dengan komputer riba keluaran Huawei.

Di Malaysia Huawei MatePad 10.4 2022 dijual pada harga RM1599 dengan ini turut hadir dengan kesemua aksesori papan kekunci dan M Pencil yang bernilai RM898. Pratempahan akan dibuka bermula 22 April hingga 2 Mei 2022.

Komen