Carian
Realme 9 4G Kini Rasmi Di Malaysia – Kamera 108MP Samsung HM6 Pada Harga Bermula RM899
April 20, 2022 Fahim Zahar

Beberapa minggu lalu, Realme telah pun melancarkan Realme 9 4G untuk pasaran India. Realme Malaysia kini secara rasminya memperkenalkan peranti ini untuk pasaran tempatan pula. Peranti ini adalah pilihan lebih mampu milik berbanding Realme 9 Pro+ yang dilancarkan sebelum ini.

Realme 9 4G hadir dengan skrin AMOLED bersaiz 6.4-inci beresolusi FHD+ dan menyokong kadar segar semula tinggi 90Hz. Ia kemudiannya dipadankan dengan cip Snapdragon 680 yang dipadankan dengan memori sehingga 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Memori 8GB ini boleh dikembangkan lagi dengan RAM Expansion sehingga 5GB menjadikan jumlah keseluruhan 13GB. Bateri pula sebesar 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas 33W Dart Charge.

Peranti ini juga adalah antara terawal yang menggunakan sensor kamera baharu daripada Samsung untuk konfigurasi tri-kamera di belakang, 108MP (Samsung HM6) + 8MP + 2MP. Untuk kamera swafoto ia hadir dengan sensor 16MP. Realme 9 4G menjalankan Realme UI 3.0 berasaskan Android 12 dan seperti nama peranti ini sendiri, ia terhad dengan rangkaian 4G sahaja.

Realme turut menyertakan pengimbas cap jari bawah skrin untuk sekuriti. Kali ini ia juga boleh digunakan untuk membaca nadi seperti peranti Xiaomi. Ciri-ciri lain pada peranti ini adalah termasuk dengan sokongan Street Photography Mode generasi kedua untuk gambar-gambar di jalanan mempunyai hasil yang lebih baik.

Realme 9 4G di Malaysia hadir dengan variasi 6/128 GB yang dijual pada harga RM899, tetapi sempena pelancaran mereka menawarkan harga RM829 bermula 22 April. Variasi 8/128 GB pula dijual pada harga RM999. Jualan di kedai fizikal akan bermula pada 23 April. Untuk pilihan warna, anda boleh pilih daripada Sunburst Gold, Stargaze White atau pun Meteor Black.

Komen