Cari @ Amanz

Ergonomik ialah perkara yang semasa muda tidak kami pedulikan kerana badan masih lagi segar bugar. Kini selepas empat dekad di muka bumi Allah ini, produk yang dapat memastikan tubuh tidak sakit selepas digunakan sudah menjadi kewajipan. Bagi mereka yang sakit tangan ketika menggunakan tetikus, Logitech Lift telah dilancarkan sebagai tetikus ergonomik.

Ia digunakan dengan tangan pada posisi menegak. Butang kawalan utama diletakkan pada sisi kanan tetikus dengan dua lagi butang tambahan untuk ibu jari pada sisi bertentangan. Tetikus nirwayar melakukan tambatan kepada peranti secara bluetooth LE dengan jarak operasi sehingga 10 meter.

Sensor laser mempunyai tetapan antara 400-4000 DPI yang boleh diubah oleh pengguna mengikut keselesaan. Hanya 1 bateri AA diperlukan untuk berfungsi dengan hayat penggunaan sehingga 2 tahun. Lift adalah tetikus menegak yang lebih mampu milik berbanding MX Vertical.

Di Malaysia Logitech Lift dijual pada harga RM299 sebuah tetapi hanya untuk pengguna bertangan kanan. Versi kidal pada waktu ini tidak ditawarkan di pasaran Malaysia. Tetikus ini boleh digunakan pada sistem operasi Windows, macOS, Linux, Chrome OS, iPadOS dan Android. 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd