Cari @ Amanz

Cip Pemprosesan AMD Ryzen Pro 6000 Untuk Komputer Riba Kelas Profesional Dilancarkan

Oleh Nazrin

Link Copied!

Tidak lama selepas memperlihatkan siri cip pemprosesan AMD Ryzen 6000 untuk komputer riba, mereka kini memperkenalkan siri cip pemprosesan AMD Ryzen 6000 Pro untuk komputer riba kelas profesional yang bukan sahaja memerlukan kuasa prestasi yang lebih hebat, tetapi juga jangka-hayat bateri yang lebih lama.

Cip pemprosesan ini terdiri daripada tiga siri, termasuklah AMD Ryzen Pro 6000 H, AMD Ryzen Pro 6000 U, dan juga AMD Ryzen Pro 5000 U yang mana ia memenuhi keperluan pelbagai jenis pengguna, tidak kira mereka yang mementingkan kuasa pemprosesan semata-mata, atau mereka yang hanya mahukan kebolehan untuk melakukan tugas harian sepanjang hari tanpa perlu disambungkan kepada sebuah pengecas bateri.

Cip-cip pemprosesan ini menggunakan nama model yang hampir sama seperti model-model CPU AMD Ryzen yang lain, tetapi hadir dengan penamaan “50H” untuk memperlihatkan prestasi yang sedikit lebih berkuasa berbanding dengan penawaran sebelum ini.

Siri cip pemprosesan AMD Ryzen 6000 Pro ini menggunakan gabungan cip CPU Zen 3+ dan juga RDNA 2 terbaru yang menjanjikan prestasi lebih berkuasa. Sebagai contoh, AMD mengatakan bahawa CPU AMD Ryzen 7 Pro 6850U mempunyai prestasi 1.1x lebih berkuasa pada 15W dan 1.3x pada 28W berbanding dengan CPU AMD Ryzen 7 Pro 585U.

AMD juga mengatakan bahawa cip pemprosesan AMD Ryzen Pro terbaru ini akan hadir dengan jangka-hayat bateri yang agak mengagumkan. Sebagai contoh, AMD Ryzen 7 Pro 6850U boleh memainkan video pada kecerahan paparan 150nit selama 29 jam secara berterusan. Sebuah lagi komputer riba yang menggerakkan penanda-aras bateri MobileMark 2018 memperlihatkan jangka-hayat bateri selama 26 jam.

Bercakap mengenai komputer riba, AMD mengatakan bahawa komputer riba dengan cip pemprosesan AMD Ryzen Pro 6000 ini akan hadir ke pasaran antarabangsa pada satu masa yang akan diumumkan kelak. Diantara komputer riba yang disahkan akan tiba ke pasaran termasuklah Lenovo ThinkPad Z16 dan Z13 dan juga HP Elitebook G9 yang akan hadir dengan penawaran paparan bersaiz 13, 14 dan 16 inci.


Komen ()