Beberapa tahun lepas, majoriti pengeluar peranti akan menyertakan sokongan rakaman panggilan telefon terus pada aplikasi panggilan telefon lalai dalam peranti mereka. Ia kemudiannya berubah dan kini hanya segelintir sahaja peranti mempunyai ciri ini terbina.
Antara sebab ciri ini dibuang adalah kerana privasi. Ciri ini walau bagaimanapun masih boleh dilakukan dengan aplikasi pihak ketiga yang boleh dimuat turun di gedung aplikasi seperti di Play Store.

Kelak bermula 11 Mei akan datang, Google akan menghalang aplikasi rakaman panggilan telefon masuk ke Play Store. Halangan ini akan berlaku kepada mana-mana aplikasi yang pembangunnya menggunakan Accessibility API untuk mengaktifkan ciri rakaman panggilan suara dari jarak jauh. Maksud di sini adalah, rakaman panggilan suara yang salah satu pihak sama ada penerima atau pemanggil tidak sedar mereka sedang dirakam.

Akan tetapi aplikasi panggilan suara lalai dalam peranti yang sedia mempunyai ciri ini seperti Google Phone pada Pixel, Mi Dialer pada peranti terpilih Xiaomi dan yang seumpama dengannya tidak akan terjejas. Hanya aplikasi pihak ketiga sahaja. Setakat ini ia hanya akan terkesan dengan aplikasi baharu, tidak pasti sama ada aplikasi sedia ada yang sudah diluluskan untuk berada dalam Play Store akan dibuang ataupun tidak.