Starlink, anak syarikat internet satelit oleh SpaceX baru-baru ini dilaporkan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat penerbangan pertama mereka, iaitu JSX, sebuah pengendali penerbangan jet persendirian yang beroperasi di beberapa kawasan di Amerika Syarikat, seperti Arizona, California, Florida, Nevada, Texas dan New York.
Tidak banyak butiran dari segi pembayaran diketahui buat masa ini tentang perjanjian ini, tetapi menurut jurucakap JSX, para pelanggan syarikat penerbangan tersebut tidak akan dikenakan sebarang caj tambahan untuk menggunakan sambungan internet tersebut didalam penerbangan-penerbangan mereka.

Ini dapat dilihat sebagai langkah pertama penggunaan komersil untuk perkhidmatan internet Starlink ini, yang rata-rata hadir dengan manfaat mudah dipasang dan hadir dengan kelajuan internet yang tinggi, tetapi pada harga yang boleh dikatakan berada pada tahap bangsawan.
Ia tidak mengejutkan sekiranya kerjasama ini dilihat lebih sebagai ujian kemampuan sambungan internet Starlink apabila digunakan pada ketinggian beribu kaki di udara sebelum syarikat tersebut membawa syarikat-syarikat penerbangan komersil lain ke meja rundingan.