Dengan sejumlah jenama menyertai arena NFT, kini pasaraya popular AEON Malaysia turut memperkenalkan penawaran mereka tersendiri sempena musim perayaan.
AEON menamakan penawaran mereka ini sebagai “Kuih Raya Kita Digital Gift”, dimana ia dipecahkan kepada dua fasa. Untuk fasa pertama, ia ditawarkan secara percuma kepada semua pemegang kad AEON – sehingga 1 Mei 2022 kelak. Anda boleh tebusnya dengan mudah melalui halaman khusus yang disediakan AEON.
Setiap rekaan kuih raya hadir dengan pilihan sebanyak 1250 unit – menjadikan ia agak terhad untuk ditebus.
Selepas fasa pertama, fasa kedua akan diikuti dengan AEON menjual NFT mereka pada harga RM80 untuk setiap satu. Dan ini akan ditawarkan dari 2 Mei sehingga 13 Mei kelak.
Disamping itu, AEON juga dijangka akan menawarkan beberapa koleksi tambahan selain “Kuih Raya”. Selari dengan penyertaan pada arena NFT, AEON juga kini menyediakan sebuah saluran Discord khusus untuknya.
Bagi anda yang berminat, boleh menyemak penawaran AEON ini hari ini pada laman khusus mereka.