Sony melancarkan model fon telinga yang paling unik mereka, Sony Linkbuds yang hadir dengan rekaan serba unik dimana bahagian pemandu audio mereka memperlihatkan rekabentuk donut yang membenarkan bunyi daripada persekitaran untuk sebati dengan audio yang dijana oleh fon telinga tersebut.
Terkini, rekaan dan sejumlah spesifikasi fon telinga Sony Linkbuds yang akan datang, iaitu Sony Linkbuds S telah tertiris ke internet, memperlihatkan rekaan berbeza berbanding dengan fon telinga Linkbuds yang pertama. Kali ini, fon telinga Sony Linkbuds S ini hadir dengan rekaan fon telinga IEM padat Sony yang lain, dan tidak lagi menggunakan pemandu dengan rekaan donut yang unik sebelum ini.
Selain daripada itu, Sony Linkbuds S ini juga kini hadir dengan ciri pembatalan bunyi hingar terbina, sesuatu yang juga tidak ada pada fon telinga Linkbuds sebelum ini. Fon telinga ini hadir dengan kecerdasan buatan terbina juga yang akan mempelajari corak penggunaan anda, yang kemudiannya akan menukar mod pembatalan hingar dan juga Ambient Sound secara automatik.
Setakat ini, butiran seperti jangkahayat bateri, pemandu yang digunakan dan juga tarikh pelancaran fon telinga ini tidak diketahui lagi.