Kad Grafik NVIDIA Seterusnya, Ada Lovelace Dijangka Akan Menggunakan Sambungan PCIe 4.0

Diterbitkan pada Apr 25, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Dengan pelancaran siri cip pemprosesan Intel Alder Lake, industri perkomputeran moden dilihat sudah mula beralih dari penggunaan teknologi penghantaran data PCIe 4.0 ke PCIe 5.0 yang memperlihatkan kadar penghantaran data beberapa kali lebih pantas berbanding dengan teknologi sebelum ini.

Walaupun begitu, NVIDIA, salah satu syarikat pembuat cip pemprosesan grafik terkemuka yang dijangka akan melancarkan kad grafik terbaru mereka dengan kod nama Ada Lovelace pada penghujung tahun ini dijangka akan kekal menggunakan sambungan PCIe 4.0 untuk siri kad grafik tersebut.

Tidak banyak butiran yang diketahui mengenai kad grafik tersebut pada masa ini, tetapi ia juga dapat disahkan bahawa kad-kad grafik Ada Lovelace kelas premium seperti NVIDIA GeForce RTX 4080, RTX 4090 dan sebagainya akan menggunakan palam kuasa ATX 3.0 16-pin yang diperkenalkan untuk kali pertama pada kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3090 Ti.

Jika benar, ia dilihat sebagai satu keputusan yang cukup aneh kerana pada awal tahun ini, NVIDIA telah memperlihatkan kad grafik Hopper mereka untuk kegunaan pusat data yang hadir dengan sokongan untuk sambungan PCIe 5.0.

Buat masa ini, banyak butiran mengenai kad grafik ini masih lagi samar-samar, termasuklah untuk NVIDIA GeForce RTX 4090, yang dijangka tiba dengan 24GB memori GDDR6X dan penggunaan kuasa setinggi 600W.

komen


© Amanz / 2022 Kami