Cari @ Amanz

Poco F4 GT akan dilancarkan secara global pada 26 April 2022. Ia dijangka hadir dengan beberapa penawaran menarik, di samping julat harga jualan yang besar kemungkinannya cukup kompetitif. Menjelang pelancaran rasmi, spesifikasinya kini tertiris menerusi perkongsian Winfuture.de.

Ia menunjukkan peranti bakal menggunakan skrin sebesar 6.67-inci OLED dengan kadar segar semula 120Hz. Paparannya turut dilapisi dengan Gorilla Glass Victus sebagai pelindungan utama. Seterusnya, cip Snapdragon 8 Gen 1 turut digunakan dengan padanan memori 8GB RAM dan storan dalaman sehingga 256GB. Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada terdapatnya variasi 12GB RAM atau sebaliknya.

Turut melengkapinya, kamera utama 64MP dengan sokongan sensor Sony IMX686. Namun begitu, tiada butiran mengenai kamera tambahan lain yang diketahui setakat ini. Tidak ketinggalan, ia juga akan mempunyai kamera swafoto 16MP, di samping bateri 4700mAh yang menyokong pengecasan pantas 120W.

Bagi melihat sejauh mana kebenaran butiran yang dikongsi ini, sama-sama nantikan pelancaran rasmi kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd