Cari @ Amanz

AMD akan melancarkan siri cip pemprosesan AMD Ryzen 7000 mereka bersama-sama platform papan induk AM5 pada penghujung tahun ini yang dilihat bakal hadir dengan sokongan untuk teknologi penghantaran data PCIe 5.0 dan juga memori DDR5 yang mula diperlihatkan melalui platform cip pemprosesan Intel Alder Lake.

Perkara ini masih belum rasmi, tetapi laporan tersebut mengatakan bahawa sejumlah pembangun papan induk yang sudah mula mengilangkan papan induk siri X670 dan B650 mengatakan bahawa untuk papan-papan induk yang dibangunkan buat masa ini, tiada sokongan untuk memori DDR4 dapat diperlihatkan buat masa ini.

Tidak seperti Alder Lake, platform AMD AM5 nampaknya tidak akan hadir dengan sokongan untuk memori DDR4 apabila ia dilancarkan kelak, menurut laporan Tom’s Hardware. Jika benar, ini bermakna bahawa sekiranya anda mahu membangunkan sebuah komputer dengan komponen-komponen AMD, kos binaan komputer tersebut akan meningkat kerana penggunaan eksklusif memori DDR5 tersebut.

Ia masih beberapa bulan sebelum AMD melancarkan siri cip pemprosesan tersebut, dan oleh kerana tanda harga memori DDR5 masih dilihat beberapa kali ganda lebih mahal berbanding dengan DDR4, pelancaran awal siri cip pemprosesan tersebut nampaknya hanya akan ditumpukan terhadap pembina-pembina kelas bangsawan terlebih dahulu.

Terdapat juga kemungkinan bahawa tanda harga memori DDR5 masih boleh menurun apabila siri cip pemprosesan tersebut dilancarkan, tetapi buat masa ini, tanda harga memori tersebut masih lagi berada dalam tahap tidak masuk akal.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd