Carian
Ulasan Realme 9 4G – Nampak Menawan, Tapi Tak Boleh Tahan
April 27, 2022 Fahim Zahar

Realme 9 4G adalah peranti baharu Realme yang baru sahaja dilancarkan di Malaysia. Peranti ini meneruskan lagi apa yang Realme 7 dan Realme 8 lakukan, iaitu memfokuskan kepada fotografi untuk harga bajet. Realme juga menyertakan ciri fotografi yang terkenal pada Oppo Reno, agar pengguna mereka juga dapat rasakan pengalaman penggunaan tanpa koyak kocek.

Peranti ini sudah pun tiba di makmal Amanz sejak beberapa minggu lalu dan ini adalah artikel ulasan untuk anda nilai, sama ada adakah peranti berbaloi untuk dimiliki?

Spesifikasi Dan Rekaan

Realme 9 4G
Skrin6.4″ Super AMOLED, FHD+
90Hz
PemprosesSnapdragon 680 (6nm)
Cip4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Cip GrafikAdreno 610
RAM6/8 GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128 UFS 2.1
Kamera Utama108+8+2 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4
Kamera Swafoto16 Megapixel f/2.5
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 33W
SIM/TelefoniDwi SIM nano
NFCTiada
Bicu AudioAda, 3.5mm
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanImbasan jari bawah skrin
Harga JualanRM 899 (6/128GB)
RM 999 (8/128GB)

Skrin bersaiz 6.4-inci Super AMOLED dengan resolusi FHD serta menyokong kadar segar semula 90Hz. Ia adalah sebuah peranti dengan skrin yang baik-baik sahaja untuk penawaran dalam kategori kelas pertengahan. Ia tidak begitu terang, tidak mempunyai warna yang mendalam ataupun butiran yang cantik. Sebaliknya, ia mempunyai warna yang sedikit pudar dan memberikan pengalaman sentuhan yang ok sahaja. 90Hz pada peranti ini juga agak baik dan majoritinya konsisten, berbanding apa yang Realme pernah tawarkan sebelum ini. Ini menjadikan peranti terasa ekstra pantas dengan peralihan animasi yang laju.

Rekaan skrin adalah klise Realme dengan lubang pada hujung atas skrin untuk kamera swafoto. Walaupun ada percubaan untuk memberi satu skrin imersif, dagu skrin ini agat tebal menjadikan ia kelihatan seakan peranti yang sudah berusia berbanding pesaing seperti Redmi.

Unit yang saya uji untuk ulasan ini adalah warna Sunburst Gold, iaitu jingga keemasan dengan ada kesan warna kuning mengikut arah mana cahaya pantul. Di belakang ada modul kamera segi empat dengan dua sensor kamera berada di atas dan bawah sementara yang ketiga berada di sisi. Butang aras suara berada di kanan, manakala di kiri ada butang kuasa sahaja.

Peranti ini sedap pegang di tangan, walaupun rasa sedikit licin – tetapi itu hanya perasaan kerana sebenarnya di tangan ia mempunyai cengkaman yang cukup baik. Cuma sayang sekali peranti tiada sokongan perlindungan percikan air seperti Redmi.

Penggunaan Dan Perisian

Dalam banyak-banyak peranti kelas pertengahan, peranti Realme mempunyai sistem operasi terbaik. In kerana mereka menggunakan Realme UI yang mana berasaskan Color OS daripada Oppo yang sudah bertahun mempunyai pengalaman. Untuk Realme 9 4G, sayang sekali ia tidak sebaik seperti Realme UI pada peranti mereka yang lebih premium.

Di sini jelas yang Realme mengikut jejak langkah Xiaomi/Redmi, iaitu sistem operasi peranti tidak sama di antara kategori peranti murah dan yang lebih mahal. Walaupun sama, Realme UI 12 dan berasaskan Android 12 – Realme 9 4G ini mempunyai banyak iklan.

Paling menjengkelkan, walaupun saya sudah matikan Get Recommendations iklan masih akan terpapar. Iklan yang dipaparkan adalah setiap kali aplikasi di pasang, tidak kira melalui APK atau daripada Play Store. Seterusnya aplikasi lalai panggilan telefon dan SMS juga adalah aplikasi mereka tersendiri dan bukannya Google Phone dan Google Message.

Sepanjang penggunaan peranti ini, saya yakin mereka yang pernah menggunakan peranti Realme akan mudah sahaja menggunakan peranti ini – sementara pengguna baru mungkin akan mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri. Walaupun mereka cuba sedaya upaya memberikan pengalaman seakan Android asli, elemen rekaan sendiri seperti pelancar, perkhidmatan sistem masih ada digunakan menjadikan peranti terasa sedikit berat.

Walaupun kadangkala ada rasa lengah masa, tetapi ia tidak begitu teruk sehingga keseluruhan sistem tergendala. Hanya sedikit tersangkut sahaja, dan dengan bulan Ramadan yang menguji kesabaran ini – peranti boleh digunakan dengan baik sekali.

Penanda Aras

Snapdragon 680 bukanlah cip pemprosesan yang paling berkuasa, tetapi jika ada perisian yang baik, pengurusan memori yang baik – ia adalah cip yang cukup elok untuk sebuah peranti kelas pertengahan. Pada Realme 9 4G, unit ulasan saya uji adalah 8GB RAM dengan 128GB storan dalaman. Ia menyokong memori maya sehingga GB untuk menjadikan RAM sebanyak GB. Ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan kemampuan prestasi pada peranti.

Dalam ujian penanda aras Geekbench 5 dan AnTutu ia menerima skor seperti berikut;

AnTuTu: 279,792

Geekbench 5: 367/1475

Seperti saya katakan tadi, peranti ada berlaku sedikit lengah masa, tetapi ia masih berada di tahap boleh sabar dan tahan. Ia juga bergantung kepada aplikasi dan permua yang dijalankan. Dalam cubaan saya, bermain permua seperti Asphalt 9 pada tetapan grafik tinggi mampu memberikan pengalaman yang baik-baik sahaja. Menu ada sedikit sangkut-sangkut, tetapi kawalan dan grafik tiada isu. Permua dengan grafik lebih tinggi, ia sedikit berat seperti masa memuat yang memakan lebih masa daripada biasa dan tetapan medium adalah had maksima pada COD mobile atau PUBG Mobile jika ingin peranti tidak ada masalah memanas.

Telefoni Dan GPS

Realme 9 4G juga mempunyai sokongan telefoni yang baik. 4G pun sudah memadai, kerana di Malaysia hanya ada satu syarikat telekomunikasi sahaja menawarkan 5G dan itu pun terhad. Lain masih kekal dengan 4G dan peranti ini juga tiada masalah menerima sokongan VoLTE serta VoWiFi. Ia juga pantas berhubung dengan Internet dan panggilan suara juga cukup jelas. Penggunaan GPS juga begitu, walaupun peranti berada pada bawah RM1000 untuk harga jualan, ia tidak terasa begitu kerana GPS cukup pantas. Cuma dalam penggunaan jangka masa panjang, aplikasi peta mungkin akan berlaku lengah masa sedikit.

Kamera

Kamera 108MP daripada sensor Samsung HM6 ini tidak dinafikan adalah sensor yang baik. Namun, jika cip pemprosesan dan perisian tidak begitu hebat – hasil imej akan menjadi biasa sahaja dan mempunyai keputusan sama dengan peranti lain yang menggunakan sensor 64MP atau 32MP. Dua sensor lain iaitu 8MP untuk sudut ultra lebar dan 2MP untuk makro juga adalah sensor asas sahaja.

Untuk hasil, 108MP boleh dikatakan agak hebat dan menarik. Mod auto apabila diambil mampu memberikan warna yang terang, nilai HDR yang tinggi serta hasil yang memuaskan. Tetapi mod AI sedikit tidak konsisten. Mod malam, mod Street, dan sudut ultra lebar juga tidak mempunyai hasil yang memberangsangkan.

108MP
Mod malam
HDR
Potret
Sudut Ultra Lebar
Swafoto
Makro

Bateri

Bateri pada Realme 9 4G ini adalah 5000mAh, yang mana adalah standard untuk peranti kelas pertengahan. Namun ketahanannya adalah yang bukan saya jangkakan. Dalam penggunaan biasa, tanpa penggunaan aplikasi yang ekstrem atau berat – setiap hari paling kerap saya boleh capai SOT 5 jam. Namun ada kalanya boleh sampai sehingga 6 jam.

Akan tetapi jika banyak menggunakan kamera, bermain permua, dan melayari web ia hanya akan bertahan sekitar 4 jam SOT. Pengecasan pantas pula hanyalah 33W, yang mana memakan masa hampir dua jam untuk penuh.

Audio

Audio pada peranti ini agak mengecewakan, kerana sebuah peranti yang berharga sekitar RM900 ke RM1000 masih menggunakan speaker mono. Sedangkan peranti pesaing dalam kategori yang sama dengan harga jualan yang lebih kurang sama dapat memberikan speaker stereo. Ia agak flat dan merupakan speaker asas. Mendengar muzik atau tonton video tidak akan memberikan pengalaman pendengaran yang mengasyikkan. Sebaiknya ia lebih kepada bolehlah.

Pesaing

Realme 9 4GSamsung Galaxy A23Honor X8
6.4″ Super AMOLED, FHD+, 90Hz, 1080 x 24006.6″ TFT, FHD+, 90Hz, 1080 x 24086.6″ IPS LCD, FHD+, 90Hz, 1080 x 2388
Snapdragon 680 (6nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Snapdragon 680 (6nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Snapdragon 680 (6nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 265 Gold
4 x 1.9 GHz Kryo 265 Silver
Adreno 610Adreno 610Adreno 610
6/8 GB LPDRR4x6GB LPDDR4x6GB
128 GB UFS 2.1128 GB UFS 2.1128GB
Kamera Utama
108MP, f/1.8 (utama)
8MP, f/2.2 (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
Kamera Utama
50MP, f/1.8 (utama)
5MP, f/2.2, (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
2MP, f/2.4 (kedalaman)
Kamera Utama
64MP, f/1.8 (utama)
5MP, f/2.2, (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
2MP, f/2.4 (kedalaman)
Kamera Hadapan
16-Megapixel
Kamera Hadapan
8-Megapixel
Kamera Hadapan
16-Megapixel
TiadaTidak kalis airTidak kalis air
Bicu audioBicu audioBicu audio
Audio MonoAudio MonoAudio Mono
5000 mAh (Berwayar 33W)5000 mAh (Berwayar 25W)4000 mAh (Berwayar 22.5W)
RM 899 (6/128GB)
RM 999 
(8/128GB)
RM999 (6/ 128 GB)RM899 (6/128GB)

Kesimpulan

Walaupun perisian Realme UI lebih baik daripada MIUI, dalam kes Realme 9 4G yang mengikut jejak langkah Redmi dengan mengurangkan prestasi mengikut darjat peranti adalah tidak patut. Realme UI yang sudah baik sejak kebelakangan ini menjadi terasa semakin hambar pada peranti ini. Yang membuatkan peranti ini rasa laju adalah sokongan 90Hz yang amat membantu sekali. Kamera pun baik sahaja, cuma perlu mengikut keadaan cahaya kerana pada sudut ultra lebar ia kurang berkualiti.

Akan tetapi jika anda inginkan sebuah peranti kelas pertengahan yang berkebolehan dari segi kamera 108MP yang boleh diterima jika anda boleh bersabar, prestasi yang akan menguji sama ada anda ada masalah baran ataupun tidak, skrin yang baik-baik dengan bateri yang bolehlah serta tiada masalah memanas – inilah peranti untuk anda.

Pro

  • Kemasan peranti yang menarik
  • Skrin 90Hz yang membantu peranti jadi laju
  • Kamera 108MP yang baru
  • Harga yang mampu

Kontra

  • Prestasi yang perlahan
  • Bateri yang tidak begitu tahan
  • Audio hanya mono
  • Ada gangguan iklan
Komen