Jika anda mengikuti perkembangan kriptowang dan juga NFT, anda pasti mengenali Bored Ape Yacht Club (BAYC), syarikat disebalik NFT popular bertemakan monyet dan beruk yang senantiasa hadir dengan nilai yang sangat tinggi.
Terkini, BAYC telah mengeluarkan kenyataan bahawa akaun instagram mereka telah digodam dan digunakan untuk menipu segelintir pengikut mereka untuk memautkan akaun MetaMask mereka kepada sebuah laman web yang kemudiannya memberi akses akaun-akaun tersebut kepada penggodam ini.
Para pengikut Instagram BAYC diperdaya dengan penggodam tersebut yang mengatakan bahawa mereka akan diberi token kriptowang BAYC secara percuma sekiranya akaun MetaMask tersebut dipautkan. Setakat ini, ia dilaporkan bahawa sekitar 133 NFT telah dicuri, termasuklah empat NFT Bored Ape termasuklah Bored Ape #6623 yang dijual pada harga 123 Ethereum ataupun sekitar $354,500.
Menurut BAYC, nilai keseluruhan kesemua NFT yang dicuri dianggarkan bernilai $2.4 juta ataupun sekitar RM10 juta. BAYC berkata bahawa akaun Instagram mereka yang digodam tersebut sudahpun menggunakan pengesahan dwi-faktor dan sebagainya. Buat masa ini, isu godaman tersebut masih lagi disiasat.