Carian
Sennheiser Momentum True Wireless 3 Dilancarkan Secara Rasmi – Hadir Dengan Ciri Adaptive ANC
April 26, 2022 Nazrin

Tidak lama dahulu, rekaan dan spesifikasi untuk fon telinga nirwayar terbaru Sennheiser, iaitu Sennheiser Momentum True Wireless 3 telah tertiris melalui sebuah laman web jualan aksesori syarikat penerbangan.

Terkini, Sennheiser sendiri telah memperkenalkan fon telinga tersebut secara rasmi dan memperlihatkan sejumlah lagi ciri-ciri baru selain daripada spesifikasi yang sudahpun disahkan sebelum ini. Dari segi rekaan, fon telinga ini dilihat sedikit lebih petak berbanding dengan fon telinga generasi kedua, dan kali ini, Momentum True Wireless 3 memperlihatkan pilihan warna baru, iaitu Graphite.

Satu fungsi baru yang diperkenalkan pada fon telinga ini ialah ciri Adaptive ANC ataupun pembatalan bunyi hingar adaptif yang mengubah tahap pembatalan hingar bergantung kepada persekitaran pengguna. Ini bukanlah sesuatu yang baru, tetapi untuk fon telinga ini, ia merupakan salah satu daripada penaiktarafan fungsi berbanding dengan ciri ANC yang diperkenalkan pada model sebelum ini.

Dalam pada itu, Momentum True Wireless 3 ini juga menyokong codec-codec audio AAC, SBC dan aptX Adaptive yang menjanjikan kualiti audio yang sangat baik pada kadar penghantaran data yang rendah dengan lengah masa minima juga.

Ia juga dilihat mengekalkan sokongan IPX4 iaitu kalis percikan air yang diperlihatkan pada model sebelum ini. Fon telinga Sennheiser Momentum True Wireless 3 ini sudahpun mula ditawarkan di beberapa pasaran tertentu pada harga $250. Kami jangkakan bahawa ia akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi.

Komen