Masa hadapan pengangkutan automotif nampaknya akan tiba melalui perniagaan teksi swapandu yang sudahpun mula dipopularkan di Amerika Syarikat oleh syarikat-syarikat seperti Waymo yang dimiliki oleh Alphabet.
Teknologi ini nampaknya sudah mula berkembang ke China pula, dimana ia dilaporkan baru-baru ini bahawa Pony.ai, syarikat teksi swapandu yang berpengkalan di California dilihat akan memulakan perkhidmatan tersebut di Guangzhou selepas menerima lesen dan kebenaran daripada kerajaan China.
Pony.ai dilihat syarikat teksi swapandu pertama yang menerima kebenaran untuk beroperasi di China, khususnya di kawasan Nansha di Guangzhou. Buat masa ini, ia juga dilaporkan bahawa sebanyak 100 teksi swapandu akan beroperasi, dimana mereka masih lagi akan hadir dengan seorang penjaga sebagai langkah berjaga-jaga, sebelum khidmat mereka tidak lagi diperlukan.

Pony.ai dijangka akan melanjutkan perkhidmatan mereka ke lokasi-lokasi lain di kawasan Guangzhou sepanjang tahun ini. Dan buat masa ini, perkhidmatan teksi swapandu ini boleh beroperasi bermula 8.30 pagi sehingga 10.30 malam
Untuk tempahan dan pembayaran, pelanggan boleh memuat-turun dan menggunakan aplikasi Pony.ai, dan buat masa ini, nampaknya harga teksi swapandu ini adalah selari dengan harga teksi biasa di kawasan tersebut.
Pony.ai sebelum ini sudahpun memulakan ujian di beberapa lokasi di Amerika Syarikat dan juga di Beijing, China, tetapi ini adalah kali pertama mereka dibenarkan untuk menjalankan perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan teksi swapandu ini sebagai perkhidmatan berbayar. Sekiranya penggunaan perkhidmatan teksi swapandu ini berjaya, ia tidak mengejutkan sekiranya ia akan dilanjutkan ke lebih banyak kawasan-kawasan lain di China.