Cari @ Amanz

Manusia akan cuba kembali permukaan bulan menjelang 2025. Setakat ini hanya 12 orang sahaja pernah menjejakkan kaki ke satelit semula jadi terhampir dengan bumi. Memandangkan untuk ke angkasa lepas anda memerlukan wang dan latihan khusus, majoriti manusia tidak akan dapat melihat sendiri pemandangan di bulan. Meta dan Smithsonian Institute cuba menyelesaikan masalah ini dengan menawarkan pengalaman maya.

Sempena ulang tahun misi Apollo 11 mendarat ke bulan, Meta dan Smithsonian menawarkan Moonwalk, pengalaman realiti maya di permukaan bulan menggunakan set kepala Meta Quest 2. Lebih 7 ribu gambar dan video dari kesemua misi Apollo digunakan sebagai sumber untuk menghasilkan pengalaman realiti maya yang sehampir mungkin kepada pengalaman sebenar yang dialami oleh angkasawan-angkasawan Apollo. Pengguna boleh melihat kenderaan bulan dan mendengar perbualan sebenar di antara angkasawan dengan pegawai NASA di bumi.

Malang sekali pengalaman realiti maya ini hanya boleh dinikmati pengunjung ke pameran pengembaraan ke bulan yang akan diadakan di Smithsonian Arts and Industries Building di Washington DC pada 4 Mei akan datang. Kita hanya boleh berharap ia ditawarkan oleh Meta menerusi gedung mereka supaya sesiapa sahaja dengan set kepala Meta Quest 2 turut boleh merasakan pengalaman berada di permukaan bulan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd