Cari @ Amanz

Ulasan Redmi Note 11S 5G – Ada 5G Dengan Harga Mampu Milik

Link Copied!

Redmi sebelum ini sedia hadir dengan beberapa varian berbeza untuk siri Redmi Note 11. Ini merangkumi Redmi Note 11 Pro+ 5G, Redmi Note 11 Pro 5G, Redmi Note 11 Pro, Redmi Note 11S, Redmi Note 11S 5G dan juga Redmi Note 11. Namun artikel kali ini akan memberi fokus kepada Redmi Note 11S 5G yang merupakan versi naik-taraf berbanding variasi standard. Melaluinya, Redmi mengetengahkan perkakasan dalaman lebih berkuasa menerusi cip MediaTek Dimensity 810. Di samping, sokongan kamera yang berbeza dengan sensor utama 50MP. Bagi melihat bagaimana prestasi peranti ini dalam penggunaan sebenar? Di sini kami kongsikan untuk bacaan bersama.


Spesifikasi

Telefon PintarRedmi Note 11S 5G
Skrin6.6-inci, IPS LCD, 90Hz, FHD+
(1080 x 2412 piksel) (~401 ppi)
PemprosesMediaTek Dimensity 810 (6nm)
2 x 2.4 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikARM Mali-G57
RAM6GB (LPDDR4X)
Muatan Dalaman128GB (UFS2.2)
Kamera UtamaUtama – 50MP
Ultra-lebar – 8MP
Makro – 2MP
Kamera Swafoto32MP (f/2.0)
Bateri5,000mAh
Pengecasan pantas 33W
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano + MicroSD
NFCTiada
Bicu AudioAda
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Imbasan Wajah
Harga JualanRM999

Skrin sebesar 6.6-inci LCD FHD+ (2400 x 1080 piksel) digunakan dengan sokongan kadar segar semula 90Hz. Kualiti paparan nampak baik dan terang meskipun hanya menggunakan skrin sejenis LCD. Warna yang dipaparkan kelihatan menyerlah, tetapi harus diakui penggunaan secara terus di bawah cahaya matahari terik adalah tidak memuaskan. Skrin akan menjadi malap, pada masa sama kandungan menjadi sukar untuk dibaca.

Seterusnya, peranti menggunakan pemproses MediaTek Dimensity 810 (6nm) dengan sokongan rangkaian 5G. Pada masa sama, ia hadir dengan rekaan cip lapan teras yang menggabungkan 4 x Cortex-A76 dengan kelajuan sehingga 2.4Ghz, dan 4 x Cortex-A55 dengan kelajuan sehingga 2Ghz. Ia turut dipadankan dengan memori sebesar 6GB RAM dan storan dalaman sebesar 128GB. Bagi yang memerlukan storan tambahan, peranti menyokong microSD sehingga 256GB. Tetapi, talam SIM yang disertakan adalah sejenis hibrid, di mana SIM kedua perlu berkongsi slot dengan kad microSD.

Kamera utama pula sebesar 50MP (f/1.8) untuk sensor utama. Ia kemudiannya dipadankan dengan 8MP (f/2.2) untuk ultra-lebar dan 2MP (f/2.4) untuk makro. Kamera boleh mengambil gambar pada nisbah 1:1, 3:4, 9:6 dan skrin penuh. Kebolehan zum pula maksima sehingga 10X. Di samping itu, ia turut boleh merakam video dengan tetapan tertinggi 1080P.

Namun, kamera utama menyokong pada kadar bingkai 60fps, sementara itu kamera hadapan pula terhad kepada 30fps. Jenis-jenis mod yang disediakan adalah seperti Pro, Video, Photo, Portrait, Night, 50MP, Short Video, Panorama, Documents, Slow Motion dan Time-lapse. Turut melengkapinya, fungsi kecantikan wajah terbina untuk hasil gambar swafoto lebih menarik.

Kapasiti sebesar 5,000mAh digunakan dengan sistem pengecasan 33W Pro Fast Charging. Proses pengecasan semula boleh dibuat menerusi port sambungan USB-C. Kemudian, terdapat juga sokongan untuk NFC, bicu audio 3.5mm dan pengimbas cap jari fizikal di sisi. Prestasi boleh dikatakan baik sekiranya digunakan dengan jari yang bersih dan tidak berpeluh. Ia juga dirasakan lebih memudahkan proses menyah-kunci berbanding penggunaan sistem imbasan wajah.


Reka Bentuk

Redmi 11S 5G menggunakan tubuh seumpama sebuah Redmi note 11 Pro+ 5G, tetapi susunan lensa dilihat sedikit berbeza. Kemudian, tubuhnya diperbuat daripada bahan berasaskan plastik bersama bahagian sisi yang dibulatkan. Ini bagi meningkatkan keselesaan ketika peranti di genggaman. Unit ulasan kami mempunyai kemasan berwarna hitam atau nama saintifiknya adalah Midnight Black.

Panel belakang sejenis plastik ini membuatkan kotoran mudah melekat. Bukan itu sahaja, kesan calar-calar halus turut mudah kelihatan sekiranya tiada penjagaan yang baik. Bahagian hadapan pula menggunakan skrin sejenis berlubang pada bahagian tengah. Saiz bezel adalah kecil pada bahagian sisi dan atas. Tetapi, kewujudan dagu masih kelihatan. Ia bagaimanapun tidak terlalu tebal sehingga mengganggu penggunaan. Terutamanya, sewaktu peranti digunakan untuk menonton kandungan video dengan skrin penuh.

Pada sisi kanan terdapatnya butang kuasa yang juga berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Bersama-sama dengannya terdapat butang laras audio. Seterusnya, siri kiri pula menempatkan slot SIM, sementara itu port sambungan USB-C boleh ditemui pada sisi bawah. Bersama-samanya, ia turut menyertakan bicu audio 3.5mm dan pembesar suara. Sistem audio adalah sejenis stereo dengan satu lagi pembesar suara diletakkan pada bahagian atas.


Perisian Dalaman

Redmi Note 11S 5G didatangkan dengan antara muka MIUI 13 yang dibina berasaskan Android 11. Ia menunjukkan antara muka yang agak berwarna -warni dan mudah digunakan. Peranti ini turut didatangkan dengan beberapa aplikasi gendut terpasang, namun kebanyakannya boleh dinyah-pasang. Antara ciri menarik pada MIUI 13 adalah seperti berikut :

  • Game Turbo – Perisian permua terbina yang mengoptimumkan aplikasi permainan bagi membolehkan pengalaman lebih menyeronokkan.
  • Video Toolbox – Membolehkan video terus dimainkan di latar belakang meskipun sewaktu skrin dimatikan.
  • Floating Windows – Aplikasi dilancarkan dalam tingkap yang terapung pada skrin.
  • Second Space – Melancarkan dua aplikasi yang sama dengan akaun berbeza.
  • Lite Mode – Mod ringkas untuk warga tua dengan ikon yang lebih besar.

Pengalaman Penggunaan

Skrin rata yang disertakan membuatkan peranti terasa sedap untuk digunakan, terutamanya sewaktu menonton video dan melayari web. Penggunaan panel LCD turut tidak mencatatkan peranti sepenuhnya. Sebaliknya, ia baik-baik sahaja, malahan paparannya juga tidak menjadi masalah untuk penggunaan di bawah cahaya matahari terik. Penghasilan semula warna juga dilihat memuaskan dengan paparan butiran yang jelas. Ia bagaimanapun, turut boleh disesuaikan mengikut keselesaan mata pengguna sendiri menerusi tetapan.

Secara lalai, skrin telah ditetapkan pada kadar segar semula 90Hz sepanjang masa. Kebolehannya di sini membuatkan penggunaan peranti terasa lancar. Namun begitu, ia masih boleh ditukar kepada 60Hz secara manual di dalam tetapan. Pengubahsuaian ini turut sama membantu untuk penjimatan bateri lebih baik. Seterusnya, saiz bezel adalah nipis kecuali pada bahagian bawah yang sedikit tebal. Namun begitu, ia boleh dikatakan perkara biasa untuk peranti dalam kelas sebegini.

Redmi Note 11S 5G mampu menawarkan prestasi yang lancar dalam kebanyakan situasi. Kebanyakan penggunaan untuk aktiviti asas seperti menatal media sosial, membaca artikel, menstrim video dan sewaktu dengannya boleh dilakukan dengan baik sekali. Ia sudah tentulah tidak sempurna sepenuhnya kerana masih terdapat sela masa yang kelihatan. Namun begitu, keadaan itu tidaklah begitu ketara.

Untuk makluman, Redmi Note 11S 5G turut menyokong kebolehan memori maya sehingga 2GB, sekaligus menjadikan memori peranti adalah 8GB RAM keseluruhannya. Ia dianggap nilai tambahan yang baik buat sebuah peranti dengan 6GB RAM sebegini. Sebabnya, kebergantungan sepenuhnya terhadap memori asas 6GB RAM sepenuhnya sering mengakibatkan peranti terasa sedikit kurang lancar.

Kemudian, hal yang pelik sepertimana pernah dikatakan dalam artikel ulasan Poco M4 Pro turut berlaku pada peranti pintar ini. Di mana, fungsi untuk sambungan hotspot tidak boleh digunakan dengan baik sepenuhnya. Ia akan dinyahaktif secara sendiri. Sungguhpun, kami sudah beberapa kali menghidupkannya semula, namun ia tetap akan dinyahaktif secara sendiri selepas beberapa saat. Selain daripada itu, pemberitahuan untuk notifikasi juga sering lambat diterima. Kami menerimanya selepas beberapa minit notifikasi dihantar.

Penggunaan untuk kamera juga sedikit terganggu akibat paparan viewfinder yang tidak stabil. Ketika mengambil gambar, paparan viewfinder yang terpapar adalah tidak sama sekali dengan dunia nyata. Ia mengambil masa sekitar 2 – 3 saat untuk paparan yang serupa ekoran adanya masalah lengah masa yang melampau. Di samping itu, sistem autofokus sedikit bermasalah dan gagal berfungsi dengan baik dalam sesetengah situasi.


Kamera

Prestasi kamera boleh anda lihat menerusi beberapa gambar yang kami lampirkan. Ia menunjukkan hasil gambar yang baik untuk kebanyakan situasi. Tidak kira sama ada digunakan di dalam atau luar bangunan, hasil gambar tampak baik selagi adanya pencahayaan yang cukup. Tiada masalah dedahan berlebihan yang dapat dilihat. Penghasilan semula warna juga tampak bermaya dan terang bersama butiran yang boleh diterima. Jika sebaliknya, warna dan fokus pada gambar kelihatan sedikit bermasalah.

Keperincian mula hilang bersama dengan warna menjadi tidak bermaya. Kewujudan sensor ultra-lebar adalah satu nilai tambahan pada peranti. Hasilnya tidak mengecewakan, tetapi terdapatnya kesan herotan yang jelas kelihatan. Akhir sekali, mod makro 2MP juga tidak begitu mengecewakan. Begitu juga dengan gambar mod malam yang juga tampak memuaskan cuma terdapat hingar yang ketara.


Bateri

Redmi Note 11S 5G didatangkan dengan bateri berkapasiti 5,000mAh. Ia turut dipadankan dengan sistem pengecasan pantas 33W yang turut tersedia di dalam kotak pembungkus. Penggunaan harian kami mendapati jangka hayat bateri berubah – ia bergantung pada jenis tetapan kadar segar semula. Ia mampu sahaja menyajikan ketahanan lebih sehari suntuk untuk penggunaan yang ringan dan bersahaja. Pada penggunaan sederhana pula, ia mampu bertahan di antara 10 – 12 jam dengan skrin terpasang. Untuk pengecasan semula, ia menggunakan port USB-C dan sistem pengecasan yang disertakan membolehkan peranti dicas penuh sekitar satu jam dan tiga puluh minit.


Pesaing

Redmi Note 11S 5GPoco M4 Pro 5GHonor X9 5G
6.6-inci, IPS LCD, 90Hz, FHD+
(1080 x 2412 piksel) (~401 ppi)
6.6-inci, IPS LCD, 90Hz, FHD+
(1080 x 2412 piksel) (~399 ppi)
6.81-inci, IPS LCD, 90Hz, FHD+
(1080 x 2412 piksel) (~401 ppi)
MediaTek Dimensity 810 (6nm)
2 x 2.4 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
MediaTek Dimensity 810 (6nm)
2 x 2.4 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Snapdragon 695 (6nm)
2 x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 x 1.8 GHz Kryo 660 Silver
ARM Mali-G57ARM Mali-G57Adreno 619
6GB (LPDDR4X)
128GB (UFS2.2)
4/6 GB RAM
64/128GB ROM
8GB RAM
128GB ROM
Utama – 50MP
Ultra-lebar – 8MP
Makro – 2MP
Lebar – 50MP (f/1.8)
Ultra-lebar – 8MP (f/2.4)
Ultra-lebar – 48MP (f/1.8)
Makro – 2MP (f/2.4)
Kedalaman – 2MP (f/2.4)
16MP (f/2.4)16MP (f/2.4)16MP (f/2.0)
Tidak Kalis AirIP53Tidak Kalis Air
Bicu Audio 3.5mmTiadaTiada
Audio StereoAudio MonoAudio Mono
5,000mAh
Pengecasan 33W
5,000mAh
Pengecasan 33W
4,800 mAh
Pengecasan 66W
RM999RM849 (4GB/64GB)
RM999 (6GB/128GB)
RM1099

Kesimpulan

Sungguhpun memiliki nama yang sama, tetapi perkakasan dalaman dan reka bentuk Redmi Note 11S 5G adalah berbeza dengan model sebelumnya. Ia mempunyai skrin yang besar, tetapi jenis panel pula adalah LCD. Cip MediaTek masih digunakan, tetapi ia adalah MediaTek Dimensity 810 dengan binaan cip 6nm. Kamera yang digunakan adalah sistem tri-kamera dengan sensor 50MP. Dengan kesemua ini, Redmi Note 11S 5G boleh diklasifikasikan telefon yang baik pada segmen harganya.

Ia boleh berfungsi dengan lancar untuk penggunaan harian. Tetapi, bukan untuk pengguna yang fokus pada permainan mudah alih yang ekstrem. Kameranya juga mampu menangkap gambar dengan baik, sekiranya cukup pencahayaan. Kebolehan 5G terbina juga membolehkannya digunakan untuk suatu jangka masa yang panjang. Bagi yang berminat, Redmi Note 11S 5G dijual pada RM999 dengan beberapa pilihan warna seperti Midnight Black, Twilight Blue dan Star Blue.


Pro

  • Skrin yang cantik dengan sokongan 90Hz yang lancar.
  • Prestasi bersesuaian untuk penggunaan harian.
  • Ketahanan bateri yang berpanjangan.
  • Kemampuan kamera yang bersesuaian.

Kontra

  • Masalah perisian.
  • Pembesar suara stereo tidak seimbang.
  • Sistem pengecasan sekadar memuaskan.

Komen ()