Elon Musk Mungkin Tidak Akan Membeli Twitter Kerana Kejatuhan Nilai Saham Tesla

Diterbitkan pada Apr 28, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada minggu ini, Elon Musk mengesahkan bahawa beliau telah berjaya mengumpul dana $46 bilion untuk mengambil-alih platform media sosial Twitter yang telahpun dipersetujui, tetapi belum dimeterai secara rasmi lagi.

Untuk beberapa hari selepas pengumuman pengambilalihan ini dibuat, banyak perkara telah berlaku, termasuklah pertanyaan orang ramai mengenai masa hadapan dan juga perubahan-perubahan yang akan dibuat terhadap platform media sosial tersebut.

Dana pembelian Twitter ini dilihat dijana oleh wang Elon Musk sendiri, pinjaman wang daripada bank, dan juga penjualan saham-saham beliau di Tesla. Pengumuman bahawa Elon Musk akan menjual saham Tesla beliau dilihat telah menyebabkan nilai saham Tesla jatuh dengan mendadak sejak dua hari yang lalu.

BBC melaporkan bahawa nilai saham syarikat telah jatuh sebanyak 12.2 peratus dari $1 trilion ke $906 bilion ataupun penurunan nilai sebanyak $126 bilion. Nilai saham syarikat tersebut mungkin dilihat masih lagi tinggi, tetapi dilihat bahawa Elon Musk akan perlu menjual lebih banyak pegangan saham syarikat tersebut untuk mencukupkan jumlah $21 bilion untuk mengambil-alih Twitter.

Terdapat juga laporan yang mengatakan bahawa Tesla akan perlu membayar semula pinjaman daripada bank yang dibuat oleh syarikat tersebut sekiranya nilai saham jatuh melangkaui 14 peratus

Buat masa ini ia tidak diketahui lagi sekiranya Elon Musk sanggup untuk menjual pegangan tambahan untuk melengkapkan pengambilalihan ini. Sekiranya ia tidak berjaya, ia bukanlah kali pertama Elon Musk menarik-diri daripada mengambil-alih sebuah syarikat secara penuh. Sebelum ini, beliau mengatakan bahawa dana $72 bilion sudah tersedia untuk mengambil-alih Tesla secara penuh dan menjadikannya sebuah perniagaan persendirian kembali, tetapi dia telah menarik diri di saat terakhir juga.

Menariknya, sekiranya Elon Musk tidak menjadi untuk mengambil-alih Twitter, beliau masih lagi perlu membayar $1 bilion, yang mana ia dapat dilihat satu nilai yang sedikit berbanding dengan nombor-nombor dan nilai lain yang diperlihatkan sepanjang saga pengambilalihan Twitter ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami