Cari @ Amanz

Dell Memperlihatkan Rekaan Modul RAM Baru Dengan Kapasiti Setinggi 128GB

Oleh Nazrin

Link Copied!

Dell baru-baru ini dilihat telah hadir dengan rekaan modul memori baru yang dinamakan Compression Attached Memory Module (CAMM) yang dilihat hadir dengan rekaan 57 peratus lebih nipis berbanding dengan rekaan modul memori SODIMM yang digunakan sebelum ini.

Modul memori CAMM ini dilihat hadir dengan rekaan papan litar yang nipis tetapi lebih luas berbanding dengan modul memori SODIMM. Satu papan modul memori CAMM ini dilihat boleh hadir dengan kapasiti setinggi 128GB, ataupun secara lazimnya empat keping memori SODIMM dengan kapasiti 32GB setiap satu.

Menariknya, walaupun rekaan modul CAMM ini sudah dipatenkan oleh Dell, mereka mempercayai bahawa modul memori ini berpotensi untuk menjadi piawaian industri terbaru yang akan membolehkan pembuat komputer riba untuk membangunkan komputer-komputer riba dengan rekaan nipis dan berprestasi tinggi. Memori ini turut dibangunkan bersama-sama syarikat teknologi terkenal yang lain, termasuklah Intel.

Untuk Dell sendiri, mereka dilihat menggunakan Dell Precision sebagai komputer riba pertama yang hadir dengan modul memori CAMM ini. Pengguna dilaporkan akan diberi pilihan untuk mendapatkan komputer riba Dell Precision yang menggunakan memori SODIMM ataupun CAMM kelak apabila ia dilancarkan.

Menariknya, kelajuan memori ini juga diperlihatkan melalui Dell sendiri, dimana ia tidak hadir dengan fungsi Error Correction Code, dan untuk kapasiti 16GB, 32GB dan 64GB, ia hadir dengan kelajuan 4800MHz. Tetapi untuk kapasiti 128GB, kelajuan memori tersebut dilihat berkurangan sehingga 3600MHz.

Komputer riba Dell Precision 7770 dan Dell Precision 7670 dengan penggunaan memori DDR5 CAMM ini dijangka akan mula dijual pada suku kedua tahun ini.


Komen ()