Meraque Ingin Mencungkil Bakat Muda Teknologi Dron Melalui Program Skuad Dron Sekolah

Diterbitkan pada Apr 28, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Terdapat banyak kerjaya yang wujud sekarang yang hanya sedekad yang lalu langsung tidak terfikir boleh menjana pendapatan. Menjadi pengurus media sosial dan menghasilkan video ke YouTube misalnya pernah dilihat sebagai kerjaya picisan tetapi kini dilihat sebaliknya. Sukan dron turut dilihat mempunyai potensi yang sama dalam masa terdekat.

Oleh itu Meraque Services Sdn Bhd (Meraque), syarikat teknologi dron Malaysia menaja dron pendidikan dan modul kesedaran asas dron untuk dilaksanakan di tiga buah sekolah di Johor sebagai permulaan usaha mencungkil bakat muda dalam teknologi tersebut di seluruh negara. Sekolah yang dipilih ialah SMK Sultan Alauddin di Felda Bukit Besar, Kulai; SMK Seri Pinang di Bandar Tenggara, Kulai dan SMK Taman Scientex, Pasir Gudang.

Program Terbang bersama Meraque (Fly with Meraque) itu bertujuan melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan teknologi dron untuk menjamin kerjaya masa depan mereka.  Ia selaras dengan inisiatif DroneTech Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang meletakkan matlamat mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan dalam industri dron negara menjelang 2030.

Terbang bersama Meraque merupakan perkongsian melalui inisiatif ‘Skuad Dron Sekolah yang dilaksanakan bersama Kelab Belia Udara Malaysia (KRUM) – sebuah kelab kurikulum dengan matlamat mewujudkan kesedaran teknologi dron dalam kalangan pelajar sekolah menengah di seluruh negara.

Program tersebut disokong oleh Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), sebuah agensi yang menjalankan usaha-usaha pembangunan bakat muda tempatan dalam bidang teknologi dron.

Dron

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pembangunan bakat dron tempatan oleh Meraque, program tersebut akan membantu menyemai minat pelajar dalam teknologi dron dan juga aplikasi berkaitannya. 

Ini adalah satu lagi inisiatif untuk menimbulkan minat teknologi dron di Malaysia. Pada Mac lalu Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (AKSADRON) yang pertama di Malaysia dibuka di Kuantan bagi mencungkil bakat sukan dron tempatan.

komen


© Amanz / 2022 Kami