Snap Melancarkan Dron Pixy Sebesar Telapak Tangan

Diterbitkan pada Apr 29, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Snap memasuki arena pengeluaran dron pula selepas dron Pixy dilancarkan pagi ini. Dron kecil sebesar tapak tangan ini mempunyai konfigurasi kuad-kipas dengan tubuh berbentuk empat segi berwarna kuning. Seperti dron lain di pasaran, ia mempunyai beberapa ciri menarik seperti terapung, mengorbit atau mengikuti pergerakan pengguna yang mengawalnya.

Pixy dilengkapi dua kamera – satu untuk navigasi dan satu lagi untuk tujuan fotografi ataupun videografi. Kemampuan rakaman video ialah 2.7K dengan ia boleh dihantar terus ke peranti untuk Snapchat Memories. Terdapat sebuah tombol di bahagian atas seperti kamera untuk menukar mod operasi dan mengaktifkan dron.

Aneh sekali Snap tidak berkongsi spesifikasi lain seperti saiz bateri dan tempoh penerbangan. Mereka menjual Pixy dengan beberapa pilihan aksesori seperti pek bateri tambahan, pengecas dan tempat menyimpan dengan tali. Di Amerika Syarikat Snap Pixy dijual pada harga bermula $250 (~RM1089).

komen


© Amanz / 2022 Kami