Huawei baru sahaja hadir dengan peranti boleh-lipat baharu menerusi pengenalan Huawei Mate Xs 2. Seiring dengannya, barisan tablet turut dikemaskini dan Huawei MatePad SE telah diperkenalkan. Ia dipasarkan sebagai sebuah tablet mampu milik bersama skrin besar bersaiz 10.1-inci.
Bercakap lebih lanjut mengenainya, paparan yang digunakan adalah sejenis IPS LCD dengan resolusi 1920 x 1200 piksel. Paparannya turut menampilkan saiz bezel yang tebal pada keempat-empat sisi, sekaligus membawakan nisbah skrin ke badan mencapai 80%. Memori yang disertakan pula adalah 4GB RAM dengan padanan storan dalaman 128GB. Tidak ketinggalan, turut terdapatnya pelbagai ciri interaktif untuk tujuan pembelajaran kanak-kanak.
Turut melengkapi tablet ini adalah pembesar suara dengan sokongan audio Huawei Histen 7.0 dan Harmon Kardon. Di samping, ia turut menjalankan sistem operasi HarmonyOS 2.0. Lain-lain spesifikasi termasuklah kamera utama 5MP, kamera hadapan 2mP dan tersedia dalam dua varian sama ada WiFi atau WiFi + LTE.
Untuk harga, Huawei MatePad SE dijual pada RMB1499 (~RM984) (WiFi), sementara itu versi WiFi + LTE pula berharga RMB1699 (~RM1,117). Buat masa ini, belum ada sebarang informasi mengenai ketersediaan untuk pasaran luar yang diketahui.
- Sumber : Weibo , Gizmochina