Jepun Kini Mempunyai Robot Penjaga Gol – Boleh Menghalang 99% Daripada Bola Masuk Dalam Gol

Diterbitkan pada Apr 29, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jepun dan robot berpisah tiada. Anda sebut sahaja anda inginkan robot bagaimana dan boleh buat apa, saya yakin, Jepun mesti ada satu untuk semua. Robot pelayan, robot memasak, robot pengganti pekerja, atau yang terkini robot untuk bola sepak.

Daripada syarikat teknologi sukan Air Digital, mereka telah hadir dengan Goalkeeper Teppeki-kun. Iaitu robot penjaga gol yang boleh menghalang bola daripada memasuki gol. Robot ini dijana dengan sistem kecerdasan buatan dengan kebolehan menghalang 99% daripada bola masuk dalam gol. Turut tersedia adalah tetapan tahap kesukaran untuk tujuan latihan, mod automatik yang menilai cara pemain sepak bola serta mod terlepas yang sengaja memberi pemain gol agar tidak rasa kecewa.

Robot ini mempunyai kamera dan sistem pemprosesan imej yang pantas untuk menjejak bola di saat sebelum disepak dan mengikutinya ketika selepas disepak. Dengan kamera ini juga, ia boleh merakam video sepakan untuk rujukan pemain serta memberi butiran kelajuan sepakan. Robot ini turut mempunyai sistem keselamatan yang boleh mengelak daripada terlanggar manusia jika ada pemain berdekatan dengannya.

Goalkeeper Teppeki-kun adalah robot yang akan dipasang di pusat-pusat latihan sukan seperti yang berada dalam kompleks membeli-belah. Robot ini kini berada di Jepun iaitu di Sports 60 & Smart dalam Ario Washinomiya, Kuki City, Saitama Prefecture. Ia adalah pusat sukan penuh dengan kelengkapan latihan sukan berteknologi tinggi.

Sudah semestinya, robot penjaga gol ini hanyalah untuk latihan semata-mata dan bukannya untuk menggantikan penjaga gol sebenar. Namun tidak terkejut jika suatu hari nanti, akan ada perlawanan bola sepat di antara robot-robot sahaja.

Tujuh tahun lepas pencipta Captain Tsubasa, Yoichi Takahashi mencuba menyepak bola ini pada prototaip Goalkeeper Teppeki-kun iaitu Super Great Robo Goalkeeper atau S.G.R.G.K. Nama ini diberi bersempena dengan Super Great Goal Keeper (S.G.G.K), iaitu Genzo Wakabayashi dalam siri anime Captain Tsubasa.

komen


© Amanz / 2022 Kami