Carian
Kereta Lumba Formula E Generasi Ketiga Menjana Semula 40% Keperluan Kuasa Menerusi Brek
April 29, 2022 Effi Saharudin

Kenderaan elektrik ialah masa depan dunia yang diharap lebih bersih dari pencemaran. Beberapa pengeluar kereta ternama sudah mengesahkan mereka akan berhenti dari mengeluarkan kenderaan bahan api fosil. Ini menimbulkan persoalan apakah akan terjadi kepada sukan Formula 1 dalam masa terdekat?

Jawapannya mungkin Formula E yang sudah dianjurkan sejak 2014. FIA telah memperlihatkan kereta lumba Formula E Generasi Ketiga dengan motor elektrik yang menghasilkan 469 kuasa kuda dan berkemampuan bergerak pada kelajuan mencecah 322 km/j. Ini adalah peningkatan dari hanya 335 kuasa kuda dan 280 km/j pada kereta generasi kedua.

Brek elektronik akan digunakan pada tayar belakang yang berkemampuan menghasilkan 40% keperluan tenaga untuk berlumba menerusi sistem penjanaan semula. Casis kereta direka oleh Spark Racing Technology dengan gentian karbon yang dikitar semula dari kenderaan generasi kedua. Pek bateri pula dibekalkan oleh Williams Advanced Engineering. Akhir sekali tayar akan dibekalkan oleh Hankook dengan ia diperbuat daripada 26% bahan yang dikitar semula.

Pihak FIA juga mempunyai perancangan untuk membenarkan kereta dicas semula dengan pantas ketika melakukan hentian pit. Dengan ini waktu perlumbaan akan menjadi lebih panjang seperti Formula 1.

Komen