ISMC Dilihat Mahu Membina Kilang Cip Semikonduktor Bernilai RM12 Bilion Di India

Diterbitkan pada Mei 5, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada minggu lepas, kami ada melaporkan bahawa kerajaan India sedang berada dalam perbincangan untuk meyakinkan syarikat-syarikat seperti Intel, TSMC dan Samsung untuk membina kilang pembuatan cip semikonduktor di negara tersebut.

Terkini, nampaknya negara tersebut akan memperlihatkan fasiliti pertama mereka melalui pelaburan daripada International Semiconductor Consortium (ISMC) yang terdiri daripada Orbit Ventures dari Abu Dhabi dan juga Tower Semiconductor dari Israel.

Semikonduktor Cip

ISMC dijangka akan melaburkan sekitar $3 bilion ataupun RM12 bilion untuk membina kilang pembangunan semikonduktor terbesar di negara tersebut di kawasan Karnataka, dengan sebuah memorandum persefahaman ditandatangani diantara konsortium tersebut dengan kerajaan Karnataka.

Menariknya, Tower Semiconductor juga dilaporkan akan diambil-alih oleh Intel tidak lama lagi, jadi ada kebarangkalian bahawa syarikat tersebut akan memiliki sebahagian daripada kilang ini.

Buat masa ini, tidak banyak butiran mengenai pembangunan kilang ini diketahui lagi, tetapi Tower Semiconductor khususnya dikenali untuk mengilangkan cip-cip seperti sensor imej CMOS, cip pengurusan kuasa, memori tidak meruap (non-volatile memory) dan sebagainya.

Sepanjang pembinaan dan juga apabila kilang ini siap, ia dijangka akan membawa masuk 1500 pekerjaan profesional dan 10,000 peluang pekerjaan secara tidak langsung.

komen


© Amanz / 2022 Kami