Cari @ Amanz

Siri Cip Pemprosesan AMD Ryzen 7000 Untuk Komputer Riba Hadir Dengan Kod Nama Dragon Range Dan Phoenix

Oleh Nazrin

Link Copied!

AMD dijangka akan melancarkan siri cip pemprosesan terbaru mereka, AMD Ryzen 7000 mereka untuk komputer desktop pada suku ketiga tahun ini, memperlihatkan sokongan untuk teknologi-teknologi perkomputeran terbaru seperti sokongan memori DDR5 dan juga PCIe5.0.

Tidak lama selepas itu, AMD dijangka akan memperkenalkan cip pemprosesan AMD Ryzen 7000 pula untuk model-model komputer riba. Terkini, ia dilaporkan bahawa cip pemprosesan tersebut akan hadir dengan nama Dragon Range untuk komputer riba gaming dan berprestasi tinggi dan Phoenix untuk komputer riba nipis dan ringan.

Bermula dengan siri cip pemprosesan Dragon Range, terdapat kemungkinan bahawa ia akan hadir dengan pilihan CPU yang akan dimuatkan dengan sehingga 16 teras fizikal dan juga cip pemprosesan grafik terbina, yang merupakan sesuatu yang baru untuk siri cip pemprosesan komputer riba AMD yang berprestasi tinggi.

Ia juga akan hadir dengan nilai TDP sekitar 55W untuk komputer riba yang akan digunakan di atas permukaan meja, seperti komputer pengganti desktop dan juga komputer riba gaming yang berkuasa dan sentiasa perlu dipasang kepada bekalan kuasa sepanjang masa.

Untuk siri cip pemprosesan Phoenix pula, ia akan hadir dengan pilihan untuk cip pemprosesan yang hadir dengan jumlah penggunaan kuasa sekitar 35W ke 45W dan akan hadir dengan rekaan APU yang menggabungkan cip pemprosesan perkomputeran dan grafik dalam satu papan.

Kedua-dua cip pemprosesan untuk komputer riba ini, sama seperti CPU kelas desktop mereka, dilihat akan hadir dengan sokongan untuk teknologi DDR5 dan juga PCIe5.0 terbina. Buat masa ini, nampaknya cip-cip pemprosesan ini hanya akan diperlihatkan pada tahun 2023 kelak, sama seperti kebiasaannya AMD akan memperlihatkan penawaran cip pemprosesan komputer riba terbaru mereka.


Komen ()