Cari @ Amanz

Selepas Poco F1 dilancarkan, Poco boleh dikatakan menyepi hampir dua tahun sebelum terus mengeluarkan pelbagai produk baharu. F1 dan F2 Pro adalah antara pembunuh peranti mercu. F3 hanya Snapdragon 870, iaitu peranti mercu asas/kelas pertengahan premium. Kini tahun 2022, mereka kembali lagi dengan pembunuh peranti mercu iaitu Poco F4 GT.

Poco F4 GT bukan sahaja pembunuh peranti mercu 2022, ia juga adalah peranti “gaming” dengan nilai terbaik. Selepas berminggu peranti ini tiba di makmal Amanz dan telah saya jadikan sebagai peranti harian, dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan dan membantu anda untuk tahu adakah peranti ini berbaloi untuk dimiliki?

Spesifikasi Dan Rekaan

Poco F4 GT
Skrin6.67″ AMOLED, FHD+
120Hz, HDR10+
PemprosesSnapdragon 8 Gen 1 (4nm)
Cip1x 3.00 GHz Cortex-X2
3x 2.50 GHz Cortex-A710
4x 1.80 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM8/12 GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama64+8+2 Megapixel
f/1.8+f/2.2+f/2.4
Kamera Swafoto20 Megapixel
f/2.4
Bateri4700 mAh
Pengecasan berwayar 120W
SIM/TelefoniDwi SIM nano
NFCAda
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanImbasan jari di sisi
Harga JualanRM 2299 (8/128 GB)
RM 2499 (12/256 GB)

Peranti dengan skrin bersaiz 6.67″ untuk tangan seperti saya adalah saiz yang ngam. Saya masih mudah untuk kendalikan peranti dengan satu tangan, mudah untuk mengakses butang-butang yang ada serta selesa menggunakan peranti pada apa jua posisi. Poco F4 GT turut mempunyai panel AMOLED berkualiti. Ia cantik, terang dan mempunyai warna yang cukup dalam dengan butiran yang terpelihara. Warna hitam OLED pada peranti ini cukup menawan dan apa jua kandungan dengan Dolby Vision pada Netflix memberikan pengalaman menonton yang mengasyikkan, manakala di YouTube dengan sokongan HDR 10+ turut boleh memberi pengguna pelbagai akses kandungan yang menenangkan.

Bezel skrin juga agak nipis dan mempunyai pengalaman penggunaan yang imersif. 120Hz pada peranti ini saya gunakan jenis automatik, bermakna bersesuaian dengan kandungan dan aplikasi yang terpapar/terbuka. Ia sangat lancar dan pantas, tanpa ada isu serius yang menjengkelkan.

Poco F4 GT turut dibina dengan binaan premium dan mempunyai boleh berlagak seakan menggunakan peranti yang lebih mewah. Setiap aspek pada peranti ini langsung tidak rasa seperti sebuah peranti bajet. Peranti ini sedap pada tangan, tidak begitu licin dan tidak rasa aneh atau janggal untuk penggunaan jangka masa lama.

Syukur Redmi K50 Gaming tidak di bawa masuk untuk pasaran tempatan, jika tidak Poco F4 GT ini tidak dapat untuk dibezakan. Walaupun hanya satu penjenamaan semula, rekaan peranti ini langsung tidak nampak Redmi. Ia seakan Black Shark dalam pakej lebih mampu milik. Pada modul kamera turut ada lampu RGB yang turut berfungsi sebagai lampu notifikasi. Ia nampak garang, tapi masih ingin kekal minimalis.

Di sisi kanan terdapat butang kuasa yang juga merupakan pengimbas cap jari di tengah, kemudian ada empat butang tambahan – dua di atas dan dua di bawah. Ia adalah butang gelungsur untuk mengaktifkan butang bahu fizikal pop-naik. Butang bahu ini amat membantu saya dalam bermain permua seperti Asphalt 9 atau COD Mobile. Ia mudah untuk ditetapkan serta selesa ditekan tanpa memberi perasaan janggal.

Di kiri hanya ada butang aras suara dan slot kad SIM. Atas peranti ada kekisi speaker, lubang mikrofon dan sensor inframerah. Manakala di bawah ada satu lagi lubang mikrofon dan kekisi speaker bersama dengan port USB-C.

Penggunaan Dan Perisian

Kalau MIUI pada peranti Redmi mempunyai banyak masalah, MIUI pada peranti Xiaomi yang mengubah sedikit dengan MIUI China – MIUI for Poco adalah versi global MIUI biasa yang diubahsuai agar mesra dengan peranti Poco. Ia akan berjalan dan berfungsi mengikut apa yang anda bayar. Ini bermakna walaupun prestasi lebih kurang sama dengan peranti harga hampir RM5000, tidak bermakna peranti yang harga sekitar RM2000 ini akan mempunyai kemampuan yang sama.

MIUI for Poco mempunyai masalah yang paling teruk antara semua MIUI yang pernah saya uji. Ada banyak ciri dan fungsi dalamnya hilang, seperti ciri mengubah paparan aplikasi terbuka daripada grid kepada melintang, ciri tetapan pelancar tidak lengkap, rekaan ikon yang tidak kemas dan mod gelap yang tidak cantik dan menjengkelkan.

Banyak elemen dalam sistem operasi ini mirip lagi dengan MIUI biasa, jadi ia tidak janggal. Cuma apabila ada sesuatu ciri itu ingin dicari tetapi tidak ditemui dan mana-mana pihak sama ada Xiaomi atau Poco atau Redmi ke tidak menjelaskan yang ciri A dan ciri B atau ciri C itu terhad pada MIUI mana dan peranti mana sahaja.

Saya masih alami masalah notifikasi pada peranti ini. Instagram lambat masuk, WhatsApp kadangkala sangkut dan paling menjengkelkan, ada kala saya ada lalui masalah di mana skrin menjadi hitam atau putih dan kekal statik tanpa skrin boleh disentuh – sistem tergendala yang menguji kesabaran saya ketika Ramadan lepas.

Untuk saya yang sudah biasa dengan mana-mana MIUI, MIUI for Poco ini bukanlah tragik teruknya. Cuma jika mereka dapat tawarkan prestasi dan kemampuan perisian yang lebih ringkas dan mesra pengguna, saya yakin Poco boleh menjuarai peranti terbaik. Saya juga tahu bagaimana matikan iklan dan ingin jadikan pengalaman penggunaan keseluruhan lebih memuaskan, jadi menggunakan Poco F4 GT sekitar dua minggu penggunaan ini agak okay dan boleh diterima.

Penanda Aras

Sudah menjadi trend sekarang untuk menyertakan ciri memori maya. Poco F4 GT yang saya gunakan ini adalah model 12GB RAM dan 256GB Storan dalaman, MIUI for Poco boleh memberi 3GB memori maya untuk tingkatkan prestasi. Antara 12GB vs 15GB RAM, pada peranti ini tidak banyak jauh beza pun sama ada ujian secara terus atau ujian bersama aksesori kipas penyejuk.

Poco F4 GT juga tidak mengalami masalah memanas yang teruk sepanjang ujian dengan penanda aras. Malah panas pada peranti pun berlaku sekejap sahaja untuk setiap kali ada sesi permua PUBG Mobile atau COD Mobile. Main permua ringan seperti Asphalt 9, hampir dua jam pun tidak menjadi masalah.

Dalam ujian penanda aras Geekbench 5 dan AnTutu ia menerima skor seperti berikut;

AnTuTu: 919,369

Geekbench 5: 1246/3554

Skor yang diperoleh ini cukup tinggi. Namun itu adalah untuk penggunaan saya. Jika anda ada yang tidak gemar aplikasi berjalan di latar, saya yakin skor lebih tinggi tiada masalah. Namun jika kita tidak pandang pada skor, dan pandang sahaja pada penawaran yang ada pada peranti ini – pengorbanan yang Poco lakukan untuk prestasi dan nilai peranti terbaik adalah bagus sekali.

Telefoni Dan GPS

Saya jangkakan peranti Poco akan ada masalah dengan rangkaian, kerana ia adalah peranti Redmi yang dijenamakan semula. Namun, mungkin kerana peranti ini dijana dengan Snapdragon 8 Gen 1 dan bukannya cip pemprosesan kelas pertengahan – prestasi rangkaian seperti data mudah alih dan panggilan telefon langsung tiada masalah. Malah, penggunaan hotspot juga stabil dan tidak bermasalah seperti peranti Redmi lain.

GPS juga pantas dan jitu untuk mengunci lokasi dan memberi arahan selok-belok. Menggunakan peranti ini mempunyai pengalaman seakan menggunakan peranti lebih mewah.

Kamera

Poco F4 GT kali ini membuatkan saya mengubah raut wajah dengan reaksi terkejut. Saya tidak sangka kemampuan kameranya hebat. Hebat dalam kelasnya tersendiri, iaitu peranti pada harga sekitar RM2500 dan bawah RM3000. Jika bandingkan dengan peranti lain dengan cip sama, kamera Poco F4 GT ini bukanlah yang terbaik.

Untuk kamera, seperti peranti MIUI yang lain ia akan menggunakan aplikasi kamera MIUI dengan sistem kecerdasan yang sedia terbina. AI pada kamera MIUI kerap ada masalah tidak konsisten dalam pemilihan profil warna. Namun, apabila ia jadi – ia jadi. Ini bermakna, apabila sistem AInya sedang menjadi pintar hasil imej yang dapat diberikan adalah cukup tajam, warna yang baik dan dengan butiran dipelihara.

Mod malam, mod sudut ultra lebar, mod bokeh dan sebagainya mempunyai hasil yang cukup baik dan memuaskan. Kamera swafoto juga tidak dinafikan agak berkualiti. Jika anda tertanya, kenapa tidak pastikan sahaja AI dan gunakan mod HDR – dalam cubaan saya hasilnya adalah dengan warna yang lebih pudar. Cara lain adalah guna mod kawalan manual. Tetapi jika anda ingin OOTD atau terus tangkap dan kongsi – kamera peranti ini akan memuaskan hati anda.

Bateri

Apa yang saya sedari selepas menggunakan beberapa peranti Snapdragon 8 Gen 1, untuk cara penggunaan saya sendiri seperti tidak matikan data, WiFi, Bluetooth, NFC aktif, banyak aplikasi kegemaran disemat agar sentiasa berjalan di latar, kecerahan skrin 70%-100%, gemar menggunakan haptik dan getaran, audio sentiasa sekitar 70%-100% juga, dan aktif dalam penstriman video, audio, sedikit sesi permua, sedikit kamera dan media sosial – saya dapati peranti akan bertahan sekitar 4-5 jam SOT. Pada Samsung Galaxy S22 Ultra begitu, Vivo X80 Pro juga begitu dan Realme GT2 Pro yang penulis kami alami juga begitu.

Pada Poco F4 GT ini saya kerap terima sekitar 4 jam SOT untuk penggunaan seperti dinyatakan. Namun jika penggunaan yang lebih berdisiplin atau cermat, seperti hidupkan yang mana perlu dan matikan yang mana tidak digunakan, kerap kosongkan memori dan lakukan semakan sekuriti serta sebagainya – SOT 6-7 jam tidak akan menjadi masalah. Poco F4 GT juga menyokong pengecasan pantas 120W, yang mana boleh capai kurang 20 minit 0%-100% – saya tiada masalah dengan bateri 4-5 jam SOT ini.

Audio

Sekali dengar, Poco F4 GT seakan mempunyai speaker stereo berkualiti tinggi. Tetapi jika dihayati dengan penuh khusyuk, speaker peranti ini sebenarnya sedikit bergema. Ia memfokuskan kepada bass yang dalam sehinggakan butiran audio lain tidak begitu jelas. Malah, audio daripada adegan aksi sama ada dalam menstrim video atau bermain permua – setiap letupan, tembakan dan bunyi bising jadi tidak memuaskan. Ia kuat, ia bergema, ia juga seimbang, tetapi kurang enak selepas setiap hari bersamanya.

Pesaing

Poco F4 GTRealme GT2 ProXiaomi 12
6.67″ AMOLED, FHD+, 120Hz, HDR10+, 1080 x 24006.7″ AMOLED, WQHD+, 120Hz, HDR10+, 1440 x 32006.28″, AMOLED, FHD+, 120Hz, Dolby Vision, 1080 x 2400,
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1x 3.00 GHz Cortex-X2
3x 2.50 GHz Cortex-A710
4x 1.80 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1x 3.00 GHz Cortex-X2
3x 2.50 GHz Cortex-A710
4x 1.80 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1x 3.00 GHz Cortex-X2
3x 2.50 GHz Cortex-A710
4x 1.80 GHz Cortex-A510
Adreno 730Adreno 730Adreno 730
8/12 GB LPDRR512GB LPDDR58GB LPDDR5
128/256 GB UFS 3.1256 GB UFS 3.1128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama
64MP, f/1.9 (utama)
8MP, f/2.2 (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
Kamera Utama
50MP, f/1.9 (utama)
50MP, f/1.9, (ultra-lebar)
3MP, f/2.2 (makro)
Kamera Utama
50MP, f/1.9 (utama)
13MP, f/2.4, (ultra-lebar)
5MP (makro)
Kamera Hadapan
20-Megapixel
Kamera Hadapan
32-Megapixel
Kamera Hadapan
32-Megapixel
Tidak kalis airTidak kalis airTidak kalis air
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4700 mAh (Berwayar 120W)5000 mAh (Berwayar 65W)4500 mAh (Berwayar 67W)
RM 2299 (8/128 GB)
RM 2499 
(12/256 GB)
RM 2999 (12/256 GB)RM 2899 (8/128 GB)
RM 2999 
(8/256 GB)

Kesimpulan

Poco yang kita kenal dulu adalah sebagai jenama yang hadir sebagai pembunuh peranti mercu. Namun sejak Poco F3 yang jelas kelihatan mula fokus ke arah peranti gaming, Poco F4 GT yang diperkenalkan di Malaysia ini terus menjadi peranti gaming paling berbaloi. Dengan harga tidak sampai RM2500, anda boleh memiliki peranti dengan butang bahu fizikal, ada sistem penyejukan, dijana cip berkuasa, menggunakan skrin hebat serta mempunyai rekaan yang ringkas, cantik dan seksi adalah satu nilai berbaloi.

Poco F4 GT adalah peranti mercu Poco tahun ini dan ia tidak dinafikan layak menjadi pembunuh peranti mercu 2022.

Setiap masa saya dengan peranti ini, saya mempunyai pengalaman penggunaan yang memuaskan. Kamera peranti juga boleh tahan cantik untuk apa yang ditawarkan. Cuma sayang sekali, pengorbanan yang kita perlu tahan adalah dengan MIUI For Poco, yang dibina berasaskan MIUI 13 Android 12 untuk global. Ia tidak begitu stabil dan mesra dengan pengguna global. Kemudian audio agak hambar kerana hanyalah speaker Redmi yang cuba menyamar, lagi pun peranti inikan hanyalah Redmi K50 Gaming.

Lain-lain penggunaan pada peranti cukup baik dan memuaskan. Ia padan dengan harga. Mana lagi nak cari peranti Snapdragon 8 Gen 1 dengan harga bermula RM2299?

Pro

  • Rekaan peranti yang cantik, kemas dan premium
  • Skrin 120Hz yang pantas, cantik dan cukup terang
  • Prestasi yang menakjubkan
  • Harga yang mampu untuk kategorinya
  • Pengecasan pantas yang amat membantu
  • Kamera yang cukup cantik

Kontra

  • Audio tidak enak, hanya speaker asas yang dikuatkan dan bergema
  • Bateri yang lemah walaupun boleh cas laju
  • MIUI for Poco yang tidak mesra dengan pengguna global
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd