Cari @ Amanz

Microsoft Dan Volkswagen Bekerjasama Untuk Membolehkan HoloLens Digunakan Dalam Kenderaan Bergerak

Oleh Nazrin

Link Copied!

Siri peranti realiti terimbuh Microsoft HoloLens boleh digunakan dalam pelbagai jenis industri, tetapi penggunaannya secara lazim dilihat terhad kepada lokasi dimana pengguna berada dalam keadaan pegun.

Ini adalah kerana sensor-sensor cahaya dan pergerakan dalam peranti tersebut sebelum ini tidak akan selari apabila dalam keadaan bergerak pada kelajuan yang tinggi, dan ini akan menyebabkan data yang tidak tepat dipamerkan, ataupun peranti tersebut tidak akan berfungsi langsung.

Masalah ini dilihat serupa dengan isu mabuk laut, dimana output pada paparan video tidak selari dengan persekitaran sebenar. Ini, digabungkan dengan kadar segar semula yang tidak diperlihatkan pada kadar optima akan menyebabkan pengguna menghadapi isu pitam dan sebagainya.

Terkini, kerjasama diantara Microsoft dan syarikat automotif Volkswagen nampaknya telah berjaya membuahkan hasil, dimana peranti Microsoft HoloLens 2 boleh digunakan dalam sebuah kenderaan bergerak.

Kerjasama ini, yang sudahpun mula sejak 2018 membolehkan mereka berjaya membangunkan sebuah algoritma yang akan mengambil kira perubahan data dalam sensor cahaya dan inertia dan secara langsung memastikan bahawa output dalam paparan adalah selari dengan persekitaran di bahagian luar. Ujian awal memperlihatkan bahawa peranti tersebut boleh digunakan di kapal-kapal laut yang besar buat masa ini.

Microsoft juga dikatakan sedang membangunkan algoritma baru yang membolehkan peranti HoloLens ini digunakan dalam kenderaan-kenderaan lain, seperti kereta. Ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana beberapa modifikasi masih perlu dilakukan keatas kereta seperti menambah sensor tambahan untuk memperlihatkan keadaan di luar kereta.

Tetapi dengan tambahan sensor ini, Microsoft dilihat telah berjaya membangunkan sebuahantaramuka peta hologram didalam HoloLens 2 ini yang memberikan butiran masa nyata tentang keadaan trafik tempatan dan juga sebarang halangan di jalan raya.

Malah sekiranya pemandu kereta memusing kepala mereka, hologram tersebut akan mengikuti pergerakan kepala pemandu untuk memastikan bahawa mereka sentiasa mengetahui pergerakan terkini kenderaan yang dipandu.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, teknologi navigasi menggunakan HoloLens 2 ini sudahpun berjaya dilakukan didalam kapal-kapal besar, dan selepas ini akan diuji secara meluas pada kenderaan-kenderaan lain pula selepas ini.


Komen ()